Ekonomi Singapura mencatat pertumbuhan yang lebih kukuh dan di luar jangkaan sebanyak 4.8 peratus pada 2025, meskipun sedang negara ini melakarkan semula strategi bagi masa depan di tengah-tengah cabaran keselamatan dan geopolitik, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Namun, sedang Singapura memandang ke luar bagi mencari lebih banyak peluang ekonomi baru, Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata adalah penting untuk memastikan setiap rakyat meraih manfaat daripada kemajuan negara.
“Kejayaan ekonomi hanyalah satu cara untuk mencapai matlamat.
“Yang penting ialah setiap rakyat Singapura meraih manfaat daripada kemajuan negara,” kata beliau.
Membentangkan Amanat Tahun Baru 2026 pada 31 Disember, Encik Wong berkata Singapura tidak boleh hanya “melakukan lebih banyak perkara yang sama” untuk kekal berdaya saing.
Malah, negara ini perlu “memikirkan dan menetapkan semula, serta menyegarkan strategi ekonomi kita”.
Ini memandangkan Singapura mungkin menghadapi lebih banyak halangan kepada pertumbuhan, dan tekanan inflasi yang semakin meningkat.
Pertumbuhan 4.8 peratus yang dicatatkan pada 2025 itu adalah lebih tinggi berbanding ramalan sekitar 4 peratus oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada November.
Namun, Encik Wong berkata rakyat Singapura perlu bersikap realistik kerana mengekalkan kadar pertumbuhan itu akan menjadi satu usaha yang sukar.
“Sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, Singapura tidak dapat melindungi diri kita sepenuhnya daripada cabaran-cabaran ini,” kata beliau.
“Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong sedang memimpin satu pasukan pemimpin lebih muda dalam usaha penting ini.
“Saranan sulung mereka akan diumumkan tidak lama lagi, dan pemerintah akan memberikan respons pada Belanjawan 2026,” tambah beliau.
Bagi 2025, Encik Wong berkata kadar pengangguran dan inflasi kekal rendah, dan pendapatan sebenar telah meningkat secara menyeluruh.
Ini disebabkan oleh lonjakan permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI) bagi semikonduktor dan peralatan elektronik.
Di tengah-tengah keadaan sejagat yang tidak menentu, Encik Wong berkata banyak syarikat mencari kestabilan dan berpaling ke Singapura sebagai sebuah pangkalan yang dipercayai.
Ini termasuk syarikat gergasi, syarikat pemula berpotensi dan syarikat yang sedang berkembang pesat di seluruh dunia yang ingin berpangkalan di Singapura, tambahnya.
“Kita mempunyai peluang untuk menarik dan menambat lebih banyak perusahaan yang dinamik,” kata Encik Wong.
Semasa lawatannya ke luar negara, Encik Wong berkata reputasi Singapura telah membuka pintu dan mewujudkan peluang bagi perniagaan dan rakyat.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan pemerintah akan terus menyokong syarikat sedang mereka berkembang dan merebut peluang di luar negara.
Pemerintah juga akan tetap memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan mutu kehidupan rakyat, tambahnya.
“Bersama-sama gerakan pekerja dan para majikan, kami akan membantu setiap pekerja berkembang dan maju dalam kerjaya mereka, supaya mereka dan keluarga mereka dapat menikmati hasil yang nyata.
“Selain pekerjaan, kami akan terus meningkatkan keperluan asas kehidupan – pendidikan, perumahan dan penjagaan kesihatan – agar setiap rakyat Singapura berasa selamat dan tenang,” kata beliau.
Encik Wong juga berkata pemerintah akan terus memperkukuh jaringan keselamatan sosial bagi memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan.
Bagi keluarga berpendapatan rendah, selain bantuan kewangan, mereka juga akan diperkasa untuk membina masa hadapan yang lebih baik untuk diri dan anak-anak mereka.
Pemerintah juga akan meningkatkan sokongan bagi golongan kurang upaya dan para penjaga mereka.
Ini termasuk memudahkan lagi akses bagi mendapatkan perkhidmatan, dan memperluaskan peluang bagi pekerjaan yang bermakna dan kehidupan berdikari, antara lain.
“Kami akan terus menyokong rakyat Singapura muda yang ingin mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak, dengan menangani kebimbangan mereka – daripada perumahan hingga ke penjagaan anak dan pendidikan.
“Kami akan mewujudkan persekitaran yang membolehkan keluarga membesar dan berkembang maju, serta memastikan masyarakat kekal bersemangat dan memandang ke hadapan,” kata Encik Wong.
Usaha juga sedang dijalankan untuk mengkaji strategi bagi membolehkan warga emas bekerja secara bermakna dalam persekitaran kerja yang mesra usia.
Ini, kata Encik Wong, bagi memperkukuh kecukupan persaraan, terutamanya bagi pekerja berpendapatan rendah dan pertengahan yang memerlukan lebih banyak sokongan.
Pemerintah juga sedang berusaha mencari huraian tenaga bersih sendiri, seperti hidrogen rendah karbon dan tenaga nuklear untuk menjamin bekalan tenaga bersih.
Sepertimana bekalan air merupakan satu ancaman kepada kewujudan Singapura, Encik Wong berkata tenaga bersih akan menjadi cabaran utama negara pada masa hadapan.
“Cabaran-cabaran yang menanti kita adalah rumit. Kita perlu berani, kreatif dan bersikap terbuka kepada huraian-huraian baru.
“Kita akan melalui banyak sesi-sesi perbincangan dan perbahasan yang rancak. Namun, kita tidak boleh sesekali membiarkan perbezaan pendapat memecahbelahkan kita.
“Sebaliknya, kita mesti memanfaatkan kepelbagaian pandangan yang ada untuk melakar hala tuju baru – sebagai satu rakyat yang bersatu padu,” kata Encik Wong.
Dalam menggulung amanatnya, Encik Wong turut mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua rakyat Singapura.
“
“Kejayaan ekonomi hanyalah satu cara untuk mencapai matlamat. Yang penting ialah setiap rakyat Singapura meraih manfaat daripada kemajuan negara. Bersama-sama gerakan buruh dan para majikan, kami akan membantu setiap pekerja berkembang dan maju dalam kerjaya mereka. Kami akan terus meningkatkan keperluan asas kehidupan – pendidikan, perumahan dan penjagaan kesihatan – agar setiap rakyat Singapura berasa selamat dan tenang”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg