Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: S’pura perlu lakar strategi baru demi kekal berdaya saing

DPM Gan pimpin pasukan pemimpin lebih muda dalam usaha itu dan saranan akan diumum tidak lama lagi; S’pura akan terus sokong syarikat berkembang, rebut peluang luar negara
Dec 31, 2025 | 6:00 PM
Amanat, Perdana Menteri, Lawrence Wong
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (empat dari kanan), bergambar dengan para hadirin di Hari Keluarga PCF 2025 di Singapore Expo pada 13 Julai. - Foto ST

Tahun 2025 merupakan tahun penting bagi Singapura.

Kita meraikan 60 tahun pembangunan negara – satu pencapaian luar biasa bagi sebuah negara yang tidak ramai menjangka akan bertahan, apatah lagi berjaya.

Rakyat Singapura juga telah memberikan kepercayaan kepada pemerintah baru dengan mandat yang jelas untuk memimpin negara kita dalam dunia yang berubah.

Di persada antarabangsa, 2025 juga menandakan satu titik perubahan besar – tahun yang menjadi penanda berakhirnya aturan sejagat yang telah lama menjadi persekitaran operasi kita.

Andaian yang sekian lama wujud mengenai pasaran terbuka serta kerjasama yang saling menguntungkan kini dipersoalkan, malah ada kalanya ditolak.

Negara-negara sedang menyusun semula rangkaian perdagangan dan rantaian bekalan atas nama daya tahan dan keselamatan.

Ketegangan geopolitik semakin meruncing.

Tiada tanda perang di Ukraine akan berakhir.

Keadaan di Gaza kekal rapuh. Di merata dunia, ketegangan yang berpunca daripada identiti dan kepercayaan terus mencetuskan keganasan.

Di rantau kita, Thailand dan Kemboja mempertikaikan kawasan-kawasan di sepanjang sempadan kedua-dua negara.

Meskipun gencatan senjata telah dicapai, sikap menahan diri yang berterusan dan rundingan (adalah) penting demi memastikan keamanan yang berkekalan.

Jika dilihat secara keseluruhannya, perkembangan ini menjadikan dunia semakin sukar diramal dan kurang selamat.

Kita harus sentiasa berwaspada terhadap ancaman keselamatan, meskipun risiko di rantau kita dan di peringkat antarabangsa terus berubah.

Namun, di sebalik cabaran luaran ini, Singapura mencatat pertumbuhan melebihi jangkaan, iaitu sebanyak 4.8 peratus.

Pertumbuhan ekonomi sejagat ternyata lebih berdaya tahan daripada yang dijangkakan.

Amerika Syarikat mengenakan tarif lebih lewat dan pada kadar lebih rendah daripada yang dikhuatiri ramai.

Kita juga meraih manfaat daripada lonjakan permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI) bagi semikonduktor dan peralatan elektronik.

Hasilnya, kadar pengangguran dan inflasi kekal rendah, dan pendapatan sebenar meningkat secara menyeluruh.

Ini merupakan hasil yang lebih baik daripada apa yang kita jangkakan, memandangkan keadaan semasa.

Cabaran dan strategi ekonomi

Namun, kita harus bersikap realistik: Sukar untuk mengekalkan kadar pertumbuhan ini.

Perdagangan yang berpecah belah dan ketegangan geopolitik bukanlah masalah sementara, tetapi merupakan ciri tetap dunia yang semakin terpisah.

Kita akan menghadapi lebih banyak halangan terhadap pertumbuhan, dan tekanan inflasi mungkin akan meningkat.

Sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, Singapura tidak dapat melindungi diri sepenuhnya daripada cabaran-cabaran ini.

Untuk kekal berdaya saing, kita tidak boleh sekadar melakukan perkara yang sama seperti sebelumnya.

Kita harus memikirkan dan menetapkan semula, serta menyegarkan strategi ekonomi kita.

Timbalan Perdana Menteri Encik Gan Kim Yong, sedang memimpin satu pasukan pemimpin lebih muda dalam usaha penting ini.

Saranan sulung mereka akan diumumkan tidak lama lagi, dan pemerintah akan memberikan tindak balas pada Belanjawan 2026.

Kekuatan dan peluang bagi negara

Kita bakal menghadapi lebih banyak cabaran dan ketidakpastian, tetapi kita boleh terus mara dengan yakin – kerana kita berada pada kedudukan yang kukuh untuk menanganinya.

Singapura mempunyai kedudukan yang baik di mata dunia, dan jenama kita dipercayai serta dihormati.

Di tengah-tengah keadaan sejagat yang tidak menentu, banyak syarikat mencari kestabilan dan berpaling ke Singapura sebagai sebuah pangkalan yang dipercayai.

Syarikat Microsoft, contohnya, menubuhkan sebuah makmal penyelidikan AI di sini, makmal pertama mereka di Asia Tenggara, untuk memacu penyelidikan AI yang canggih dan membangunkan huraian untuk industri.

Bukan syarikat gergasi sahaja yang berbuat demikian.

Semakin banyak syarikat pemula berpotensi dan syarikat yang sedang berkembang pesat dari seluruh dunia menjadikan Singapura sebagai batu loncatan untuk menembusi rantau ini.

Kita mempunyai peluang untuk menarik dan menambat lebih banyak perusahaan yang dinamik.

Dalam lawatan saya ke luar negara, saya melihat bagaimana reputasi kita membuka pintu dan mewujudkan peluang bagi perniagaan dan rakyat kita.

Dari Afrika ke Amerika Latin, syarikat-syarikat kita sedang menempa nama dalam bidang-bidang tukikan baru.

Kami akan terus menyokong syarikat-syarikat kita, sedang mereka berkembang dan meningkatkan skala serta merebut peluang yang ada di luar negara.

Saya juga bertemu ramai rakyat Singapura berjiwa usahawan yang berani meneroka peluang di luar negara.

Daya tahan, keupayaan untuk menyesuaikan diri serta kesediaan mereka untuk melangkah keluar dari zon selesa benar-benar menjadi inspirasi.

Tumpu pada rakyat, tingkat jaringan keselamatan sosial

Sedang kita memandang ke luar untuk mencari peluang baru, kami tetap memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan mutu kehidupan di tanah air.

Kejayaan ekonomi hanyalah satu cara untuk mencapai matlamat. Yang penting ialah setiap rakyat Singapura dalam meraih manfaat daripada kemajuan negara.

Bersama-sama gerakan pekerja dan para majikan, kami akan membantu setiap pekerja berkembang dan maju dalam kerjaya mereka, supaya mereka dan keluarga mereka dapat menikmati hasil yang nyata.

Selain pekerjaan, kami akan terus memperbaiki keperluan asas kehidupan – pendidikan, perumahan dan penjagaan kesihatan – agar setiap rakyat Singapura berasa selamat dan tenang.

Pada masa yang sama, kami akan memperkukuh jaringan keselamatan sosial kita bagi memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan.

Kami akan membantu keluarga berpendapatan rendah – bukan sahaja melalui bantuan kewangan, bahkan juga dengan memperkasakan mereka untuk membina masa hadapan lebih baik untuk diri mereka dan anak-anak.

Kami juga akan mempertingkatkan sokongan bagi golongan kurang upaya dan para penjaga mereka – dengan memudahkan lagi akses bagi mendapatkan perkhidmatan, memperluas peluang bagi pekerjaan yang bermakna dan kehidupan berdikari, serta menambah keyakinan keluarga untuk merancang masa hadapan mereka.

Ini merupakan isu mendesak yang perlu kita tangani. Namun, kita juga mesti berhadapan dengan cabaran jangka panjang yang akan membentuk masa hadapan.

Harungi cabaran jangka panjang

Pertama, seperti kebanyakan ekonomi maju, penduduk kita semakin menua dan kadar kelahiran semakin menurun.

Kami akan terus menyokong rakyat Singapura muda yang ingin mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak, dengan menangani kebimbangan mereka – daripada perumahan hingga ke penjagaan anak dan pendidikan.

Kami akan mewujudkan persekitaran yang membolehkan keluarga membesar dan berkembang maju, serta memastikan masyarakat kekal bersemangat dan memandang ke hadapan.

Ini juga bermakna kita harus bersikap terbuka, dan mengalu-alukan mereka yang menerima cara hidup kita sebagai warga senegara kita.

Bersama-sama, usaha ini akan membantu memperkukuh nilai dan identiti yang kita kongsi bersama, serta mengekalkan teras rakyat Singapura yang kukuh dan padu.

Kedua, kita perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi jangka hayat yang lebih panjang, yang akan membawa implikasi meluas terhadap penjagaan kesihatan, pekerjaan, dan persaraan. Kami sedang meneliti isu ini secara menyeluruh.

Kumpulan Kerja Tiga Pihak bagi Pekerjaan Warga Emas sedang mengkaji strategi untuk membolehkan warga emas bekerja secara bermakna dalam persekitaran kerja yang mesra usia.

Langkah ini selaras dengan usaha kami untuk memperkukuh kecukupan persaraan, terutama bagi pekerja berpendapatan rendah dan pertengahan yang memerlukan lebih banyak sokongan.

Ketiga, kami akan menjaminkan bekalan tenaga bersih bagi kegunaan industri masa hadapan yang menggunakan tenaga yang tinggi, termasuk AI.

Salah satu strategi ialah mengimport tenaga mesra alam, dan berusaha ke arah matlamat jangka panjang bagi membangunkan Grid Kuasa Asean.

Pada masa yang sama, kami juga sedang berusaha mencari huraian tenaga bersih kita sendiri, seperti hidrogen rendah karbon dan tenaga nuklear.

Pada tahun-tahun awal pembangunan negara kita, bekalan air merupakan satu ancaman kepada kewujudan kita.

Melalui kerja keras dan kepintaran, kami berjaya menghasilkan AirBaru. Kini, tenaga bersih menjadi medan baru dan cabaran utama kita yang seterusnya.

Sepertimana kita mengatasi cabaran bekalan air, kita harus merubah kelemahan ini menjadi satu sumber kekuatan.

Melangkah ke hadapan sebagai satu rakyat

Cabaran-cabaran yang menanti kita adalah rumit. Kita perlu berani, kreatif dan bersikap terbuka kepada huraian baru.

Kita akan melalui banyak sesi perbincangan dan perbahasan yang rancak.

Namun, kita tidak boleh sesekali membiarkan perbezaan pendapat memecahbelahkan kita.

Sebaliknya, kita mesti memanfaatkan kepelbagaian pandangan yang ada untuk melakar hala tuju baru – sebagai satu rakyat yang bersatu padu.

Kita menutup tirai 2025 dengan satu peringatan tentang bagaimana Kisah Singapura bermula.

Pameran, Fail Albatross – yang menampilkan dokumen dan catatan sejarah lisan yang baru dinyahklasifikasi – mendedahkan betapa hampirnya kita mengalami nasib yang jauh berbeza.

Ia menggambarkan pilihan sukar yang dihadapi oleh para pemimpin pengasas kita dan bagaimana berkali-kali masa hadapan Singapura bak telur di hujung tanduk.

Kelangsungan hidup kita belum tentu. Kejayaan kita belum terjamin.

Kebangkitan kita daripada titik permulaan yang bergelora menjadi sebuah negara yang stabil, makmur dan bersatu padu merupakan satu keajaiban.

Keajaiban yang bukan kerana nasib, tetapi yang dibentuk atas keberanian dan ketabahan semua rakyat Singapura.

Hari ini, kita hidup dalam dunia yang terasa lebih kelam dan berbahaya berbanding sebelumnya.

Namun, sejarah mengingatkan kita bahawa Singapura sentiasa menemui kekuatan dalam kesukaran.

Kita mampu bertahan dan terus maju kerana kita enggan mengaku kalah – kerana kita menghadapi cabaran-cabaran ini bersama-sama, dengan keberanian dan keazaman.

Usaha mengekalkan keajaiban Singapura memerlukan semangat yang serupa daripada kita semua hari ini.

Kita menyaksikan semangat ini dalam pasukan bola sepak Singa kita, yang gigih berjuang dan berjaya melayakkan diri ke Piala Asia buat julung-julung kalinya dalam sejarah.

Semangat ini turut dipamerkan di Sukan SEA.

Barisan atlet Pasukan Singapura kita, termasuk ramai muka baru yang muda, mencatat prestasi cemerlang, dengan memecahkan rekod dan mencapai tahap baru.

Pencapaian ini mengingatkan kita bahawa apabila kita kekalkan tumpuan dan gigih berusaha, kita mampu mengatasi kegagalan, bangkit mengharungi cabaran dan mengatasi ketidakpastian dengan penuh keyakinan.

Marilah kita bawa mentaliti ini ke tahun baru – berdaya tahan dan bersatu padu, berazam serta mendukung seribu harapan – sambil kita menulis bab seterusnya dalam\ Kisah Singapura kita bersama-sama.

Saya ucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua rakyat Singapura.

Menyokong pekerja

Bersama-sama gerakan pekerja dan para majikan, kami akan membantu setiap pekerja berkembang dan maju dalam kerjaya mereka, supaya mereka dan keluarga mereka dapat menikmati hasil yang nyata. Selain pekerjaan, kami akan terus memperbaiki keperluan asas kehidupan – pendidikan, perumahan dan penjagaan kesihatan – agar setiap rakyat Singapura berasa selamat dan tenang.”
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Menyokong keluarga

Kami akan terus menyokong rakyat Singapura muda yang ingin mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak, dengan menangani kebimbangan mereka – daripada perumahan hingga ke penjagaan anak dan pendidikan. Kami akan mewujudkan persekitaran yang membolehkan keluarga membesar dan berkembang maju, serta memastikan masyarakat kekal bersemangat dan memandang ke hadapan.”
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Menyokong golongan kurang upaya

Kami juga akan mempertingkatkan sokongan bagi golongan kurang upaya dan para penjaga mereka – dengan memudahkan lagi akses bagi mendapatkan perkhidmatan, memperluas peluang bagi pekerjaan yang bermakna dan kehidupan berdikari, serta menambah keyakinan keluarga untuk merancang masa hadapan mereka.”
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg