Ekonomi digital Asia Tenggara dijangka melebihi AS$300 bilion ($390 bilion) menjelang akhir 2025, dengan Singapura terus menjadi peneraju utama.
Demikian menurut satu kajian yang diterbitkan pada 11 November.
Nilai dagangan kasar (GMV) – nilai barang yang dijual di platform e-dagang dan lain-lain – di rantau ini telah mencecah AS$299 bilion pada Jun 2025, lapor The Straits Times (ST).
Penemuan itu adalah daripada laporan tahunan yang dikeluarkan firma perunding Bain & Company, Temasek dan Google, yang merangkumi Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Pada 2025, laporan itu turut memperluaskan skopnya dengan menambah empat lagi negara Asean – Brunei, Kemboja, Laos dan Myanmar.
Dengan empat negara tambahan itu, pendapatan dijangka mencecah AS$100 bilion dan GMV mencapai AS$305 bilion.
Ini bermakna ekonomi digital rantau ini berdasarkan GMV telah melepasi unjuran awal laporan tersebut, yang menjangka AS$200 bilion pada 10 tahun lalu (2015).
Kebangkitan kecerdasan buatan (AI) dijangka mempercepat transformasi rantau ini, terutama dengan jumlah pengguna Internet yang besar dan minat mendalam terhadap AI, ujar laporan tersebut.
Singapura merupakan pusat AI di rantau ini, dengan sekitar 495 syarikat pemula AI daripada 680 syarikat pemula AI di rantau ini beroperasi di Singapura.
Lebih AS$2.3 bilion telah dilaburkan dalam syarikat pemula yang berkaitan dengan AI.
Temasek juga menumpukan perhatian kepada AI dalam membuat keputusan pelaburan.
Ketua Temasek Asia Tenggara, Encik Fock Wai Hoong, berkata: “AI adalah tema pelaburan sejagat yang mustahil untuk diabaikan.”
Temasek turut bersikap berhati-hati namun optimis terhadap pelaburan AI, katanya.
Pada 2024, syarikat pemula AI menguasai lebih 30 peratus pembiayaan digital keseluruhan, dan jumlah itu dijangka terus meningkat, tambah beliau.
Rakan kongsi Bain & Company, Encik Florian Hoppe, berkata:
“Singapura terus menjadi peneraju ekonomi digital Asia Tenggara. Keupayaan awal dalam AI membuka peluang transformasi lebih besar untuk mencipta nilai ekonomi berkekalan di rantau ini.”
Naib Presiden Google untuk Asia Tenggara dan Asia Selatan, Cik Sapna Chadha, pula berkata kesan transformasi AI dan peralihan ke arah keuntungan mampan semakin jelas.
Temasek juga melihat potensi dalam ekonomi digital rantau ini berikutan perkembangan pasaran pengguna berpendapatan sederhana.
Sektor seperti perkhidmatan kewangan digital, platform pengguna dan kesihatan dilihat sebagai peluang utama, ujar Encik Fock.
Namun, Temasek juga mengakui terdapat risiko, terutama dalam persekitaran geopolitik yang tidak menentu.
Encik Fock berkata: “Ketegangan geopolitik adalah sesuatu yang kami selalu fikirkan. Ini terutamanya relevan di seluruh Asia Tenggara apabila memikirkan kesan tarif di pelbagai negara di rantau ini.”
Beliau menambah, rantau ini telah menyaksikan beberapa kes penipuan berprofil tinggi yang boleh merosakkan keyakinan pelabur, dan menekankan pentingnya mewujudkan kepercayaan dan tadbir urus korporat yang kukuh.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg