Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Raih peluang baru kenali AI, jangan ketinggalan

Fahami asas AI; mampu memperkaya kerjaya, mutu kehidupan masyarakat
Aug 31, 2025 | 5:30 AM
Suhaimi Salleh, AI, raih peluang baru, NDR
Penulis menggalakkan masyarakat Melayu/Islam supaya mengambil langkah pertama – mengenali asas AI, memahami bagaimana ia boleh membantu kerja, perniagaan atau kehidupan, dan seterusnya membina kemahiran sedikit demi sedikit. - Foto fail

Ucapan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dalam Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2025 membawa mesej penting – teknologi kecerdasan buatan (AI) akan menjadi pemacu utama ekonomi masa depan. 

Beliau menegaskan bahawa AI bukan hanya untuk syarikat besar, malah setiap perusahaan, termasuk syarikat kecil dan sederhana (SME) juga boleh meraih manfaat daripadanya.

PM Wong juga memberi jaminan bahawa pekerja tidak akan dipinggirkan. 

Sebaliknya, pemerintah akan bekerjasama rapat dengan kesatuan dan majikan untuk mereka semula pekerjaan, melatih semula tenaga kerja, dan membantu rakyat menyesuaikan diri dengan perubahan pesat yang sedang berlaku.

Dari era komputer ke AI

Perkembangan pesat AI yang kita lihat hari ini mengingatkan kita tentang transformasi teknologi beberapa dekad yang lalu. 

Sewaktu komputer peribadi mula diperkenalkan, ramai pekerja dan syarikat kecil berasa gusar. 

Ada yang bimbang pekerjaan akan hilang. Ada yang merasakan mereka tidak mampu bersaing dengan teknologi baru. 

Namun, dengan bimbingan dan latihan, komputer akhirnya menjadi alat harian yang meningkatkan produktiviti semua lapisan masyarakat – dari pekerja pejabat, peniaga hinggalah pelajar sekolah.

Begitu juga apabila Internet muncul. 

Pada mulanya, ia kelihatan sukar difahami dan hanya digunakan oleh segelintir pakar. 

Tetapi kini, Internet adalah nadi kepada hampir semua aspek kehidupan – daripada komunikasi, perniagaan, pembelajaran sehinggalah hiburan.

Hari ini, kita sedang memasuki era baru – era AI.

Sama seperti komputer dan Internet dahulu, AI berpotensi mengubah cara kita bekerja, belajar dan hidup. 

Bezanya, kelajuan perubahan kali ini jauh lebih pantas. Jika kita tidak bersedia, kita mungkin tertinggal lebih cepat berbanding dahulu.

AI sebagai pemangkin kemahiran baru

Contoh yang diberikan oleh PM Wong – pengendali kren PSA yang kini mengurus peralatan dari jauh, doktor gigi menggunakan AI untuk memperhalusi diagnosis, dan pegawai Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang tidak lagi perlu transkripsi manual.

Semua contoh tersebut menunjukkan AI bukan menggantikan manusia, tetapi menambah nilai kepada kerja manusia.

Namun, untuk AI benar-benar bermanfaat, kita mesti melengkapkan diri dengan dua set kemahiran: kemahiran teknologi dan kemahiran insaniah.

Sebagai penyedia latihan yang diiktiraf SkillsFuture Singapore (SSG), kami dapat melihat bagaimana kursus AI asas kami boleh meyakinkan peserta bahawa AI sebenarnya alat yang mesra pengguna.

Pada masa yang sama, kemahiran insaniah seperti menyelesaikan masalah, komunikasi, kerjasama dan keupayaan menyesuaikan diri amat penting supaya pekerja boleh menggunakan AI secara bijak.

Contohnya, seorang pegawai khidmat pelanggan boleh menggunakan program komputer sembang (chatbot) AI untuk menjawab soalan asas pelanggan, sambil menggunakan daya fikir kritikalnya untuk mengesan corak aduan yang lebih mendalam. 

Pasukan pemasaran pula boleh menggabungkan analitik AI dengan daya kreatif dan kerjasama mereka untuk menghasilkan kempen yang lebih berkesan. 

Usahawan SME pula boleh mencuba sistem AI bagi pengurusan inventori, mengurangkan pembaziran dan membuat keputusan lebih bijak.

Tiada siapa boleh ketinggalan

Cabaran besar ialah memastikan semua lapisan masyarakat kita mendapat peluang yang sama.

Ramai pekerja, khususnya golongan pertengahan usia atau mereka yang kurang terdedah kepada teknologi, mungkin berasa gentar. 

Begitu juga dengan peniaga mikro atau wanita yang kembali bekerja selepas sekian lama, mereka memerlukan sokongan dan latihan yang sesuai.

Berita baiknya, latihan AI asas dan kursus jangka pendek kini lebih mudah diakses, banyak disokong geran pemerintah dan Kredit SkillsFuture, dan ditawarkan dalam bahasa yang mudah difahami.

Malah, kami lihat semakin ramai anggota masyarakat kita menggunakan Kredit SkillsFuture mereka untuk belajar AI, kemahiran digital asas, serta kemahiran insaniah, agar kekal relevan dalam dunia kerja yang berubah pantas.

Rangkaian M Kuasa Tiga (M³), pertubuhan Melayu/Islam (MMO) dan kumpulan-kumpulan sukarelawan yang lain boleh memainkan peranan penting dalam menyebarkan kesedaran ini. 

Namun, para pemimpin mereka perlu terlebih dahulu menyertai kursus AI yang sesuai, agar mereka faham akan apa sebenarnya AI.

Melalui kemahiran yang dipertingkat, mereka juga boleh mempelajari bagaimana ia boleh digunakan untuk meningkatkan produktiviti dan kreativiti mereka dalam apa sahaja bidang yang mereka ceburi dan juga kehidupan mereka. 

Dengan keyakinan akan manfaat besar AI, mereka boleh menjadi pendorong untuk menarik lebih ramai, termasuk warga emas, mendekati teknologi AI tanpa rasa takut dan gusar.

Kesimpulan

AI bukan sekadar teknologi canggih – ia peluang untuk memperkukuh kedudukan kita sebagai individu, masyarakat dan negara. 

Sama seperti komputer dan Internet yang pernah kita pelajari dan kuasai, AI juga boleh menjadi alat yang memperkayakan hidup kita jika kita berani melangkah.

Masyarakat Melayu/Islam terkenal dengan semangat kental dan tidak mudah putus asa. 

Semangat ini mesti digabungkan dengan keterbukaan minda dan kesediaan untuk terus belajar. 

Kita tidak perlu menjadi pakar teknologi untuk bermula. 

Apa yang penting ialah mengambil langkah pertama – mengenali asas AI, memahami bagaimana ia boleh membantu kerja, perniagaan atau kehidupan kita, dan seterusnya membina kemahiran sedikit demi sedikit.

Mari kita pastikan gelombang AI ini menjadi peluang untuk semua, bukan sekadar segelintir. 

Dengan sikap positif, sokongan berterusan, dan pembelajaran sepanjang hayat, kita boleh melangkah maju bersama dalam era AI.

Penulis Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSA Group, penyedia latihan Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ) dalam AI dan kemahiran insaniah. Lungsuri www.ssa.academy bagi maklumat lanjut.

Masyarakat Melayu/Islam terkenal dengan semangat kental dan tidak mudah putus asa.  Semangat ini mesti digabungkan dengan keterbukaan minda dan kesediaan untuk terus belajar. Kita tidak perlu menjadi pakar teknologi untuk bermula.  Apa yang penting ialah mengambil langkah pertama – mengenali asas AI, memahami bagaimana ia boleh membantu kerja, perniagaan atau kehidupan kita, dan seterusnya membina kemahiran sedikit demi sedikit. Mari kita pastikan gelombang AI ini menjadi peluang untuk semua, bukan sekadar segelintir. 
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg