Sudah tiba masanya masalah kulit ekzema dipertimbangkan sebagai penyakit kronik yang memerlukan sokongan lanjut, kata Cik Tin Pei Ling (Macpherson).
Ini sedang jumlah kes ekzema – masalah kulit yang menyebabkan keradangan, kemerahan dan kerengsaan pada kulit – yang baru dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa di Singapura kian mencatat peningkatan saban tahun.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Usul Penangguhan di Parlimen pada 12 November.
Berdasarkan laporan Pusat Kulit Nasional (NSC), 14,000 kes ekzema baru pada tahun berakhir 31 Mac 2023 dicatatkan berbanding 9,406 kes baru pada 2008.
Dalam satu laporan The Straits Times pada Jun 2024 pula, NSC menyatakan bahawa ekzema adalah penyakit utama yang dirawat di pusat itu, sambil menambah jumlah kes kekal stabil sejak 2019, tetapi kes tahap sederhana sehingga teruk telah meningkat beberapa tahun sejak kebelakangan ini.
Lantaran itu, Cik Tin dalam usulannya menggesa agar Kementerian Kesihatan (MOH) terus menyemak kos rawatan bagi warga Singapura yang menghidap ekzema tahap sederhana sehingga teruk, agar ia kekal dimampui.
Apatah lagi belum ada penawar bagi ekzema dan mereka yang menghidapinya hanya dapat mengurus dan mengurangkan gejala masalah kulit itu melalui ubat dan krim, tambah beliau.
“Beban ekzema berada di 15 kedudukan teratas dalam kalangan semua penyakit yang tidak membawa maut, dan jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan penyakit kulit lain.
“Di Singapura, ia dianggarkan menjejas 20 peratus (seorang daripada lima) kanak-kanak dan 11 peratus (seorang daripada 10) daripada orang dewasa,” kata Cik Tin.
Beliau menambah, adalah penting untuk mempertimbangkan kos yang tinggi secara holistik kerana ia juga termasuk kos penjagaan tidak formal, seperti penyediaan sajian khas disebabkan sekatan diet dan peruntukan penjagaan emosi.
Bagi kanak-kanak, misalnya, kos purata tahunan yang ditanggung bagi penghidap ekzema tahap sederhana ialah AS$7,935 ($10,620).
Ini berdasarkan kajian bersama Sekolah Perubatan Lee Kong Chian Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH) dan NSC pada 2019.
Oleh demikian, beliau mengusulkan tiga cadangan kepada MOH agar kos rawatan kekal berpatutan bagi golongan sedemikian.
Cadangan beliau melibatkan penyertaan Dupilumab – sejenis ubat suntikan – dalam senarai ubat bersubsidi, menyertakan ekzema tahap sederhana dan teruk di bawah Program Pengurusan Penyakit Kronik (CDMP) dan memperluaskan Dana Bantuan Rawatan Perubatan (MAF) bagi meliputi Dupilumab.
Membalas usulan Cik Tin, Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Dr Janil Puthucheary, menjelaskan bahawa ubat Dupilumab telah dinilai oleh Jawatankuasa Penasihat Ubat-ubatan (DAC) pada 2023.
Menurutnya, DAC menyarankan agar Dupilumab tidak disarankan untuk subsidi di bawah MAF – yang memberi subsidi bagi ubat mahal yang disifatkan sebagai satu keperluan – kerana “manfaatnya tidak memberi alasan kukuh ke atas kos” namun tidak mendedahkan kos ubat tersebut.
Berkenaan penyertaan ekzema di bawah CDMP, Dr Puthucheary berkata Jawatankuasa Penasihat Klinikal (CAC) – terdiri daripada pakar dan doktor dari sektor awam dan swasta yang menyemak syarat CDMP – memutuskan untuk tidak menyertakan ekzema di bawah program tersebut.
CDMP ditubuhkan pada 2006 untuk meningkatkan penjagaan bagi penghidap penyakit kronik.
Beliau berkata ini disebabkan amalan penjagaan bagi ekzema berbeza-beza dan tiada garis panduan kebangsaan yang diseragamkan, sambil menambah garis panduan klinikal sedang dibangunkan.
Apabila garis panduan itu telah selesai, CAC akan menilai jika ekzema sesuai untuk disertakan dalam CDMP, tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg