Parlimen meluluskan pindaan bagi undang-undang berkenaan Skim MediShield Hayat pada 11 November.
Semasa perbahasan rang itu, Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, berkata pindaan tersebut bertujuan menyokong pengembangan perlindungan kepada model penjagaan baru yang lebih baik.
Ini di samping mengukuhkan peruntukan bagi menyokong usaha mendapatkan kembali bayaran premium dan menambah baik pentadbiran skim tersebut.
“Kita perlu meminda akta ini untuk membenarkan MediShield Hayat melindungi jumlah rawatan yang semakin meningkat, yang kini ditawarkan melewati ruangan hospital dan model kaedah penjagaan baru yang mungkin muncul pada masa hadapan,” jelas beliau.
Akta Skim MediShield Hayat pertama kali dilaksanakan pada 2015 dan ini merupakan kali pertama ia dipinda sejak itu.
Di bawah skim tersebut, yang direka untuk menampung rawatan bersubsidi di hospital awam, warga Singapura dan penduduk tetap (PR) perlu membayar premium.
Cik Rahayu menambah bahawa pindaan kepada akta itu membolehkan individu yang dilindungi di bawah skim tersebut menerima rawatan atau perkhidmatan perubatan, selagi mana ia adalah daripada institut perubatan yang diluluskan.
Ini berbanding undang-undang di bawah akta sebelum ini, yang memerlukan individu sedemikian mendapatkan rawatan atau perkhidmatan perubatan di institusi perubatan yang diluluskan.
“Ini bermakna skim ini akan dapat meliputi penjagaan yang diterima sepenuhnya di luar premis institusi perubatan dan memberi ruang fleksibel bagi meliputi kaedah penjagaan lebih baru yang mungkin timbul pada masa hadapan,” tambahnya.
Perubahan itu disambut baik Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar), yang berhujah bahawa ia dapat “memenuhi keperluan rakyat Singapura yang semakin meningkat”.
“Dengan perubahan ini, MediShield Hayat akan dapat memberi kelulusan kepada institusi dan perkhidmatan perubatan yang layak menerima perlindungan di bawah skim ini,” ujarnya.
Ini turut dikongsi Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Neil Parekh, yang mengatakan bahawa pindaan itu dapat meningkatkan mutu perkhidmatan dan memberikan penjimatan kos kepada penjagaan kesihatan.
“Kemas kini ini meningkatkan keupayaan Singapura memberikan perlindungan penjagaan kesihatan yang mampan sambil menguruskan dana kesihatan awam dengan cekap.
“Institusi perubatan mesti kini mendapatkan kelulusan daripada Menteri untuk menyediakan rawatan perubatan khusus yang layak di bawah Skim MediShield Hayat,” kata beliau.
Begitu juga usul yang disuarakan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Gerald Giam (GRC Aljunied), yang akur bahawa perubahan itu “dapat membantu dalam pengurusan kos” penjagaan kesihatan terhadap individu.
Namun, Dr Wan Rizal dan Encik Parekh masing-masing menyuarakan kebimbangan dari sudut kemampanan premium supaya ia kekal berpatutan untuk semua dan jangka masa permohonan bagi perlindungan rawatan oleh institut perubatan.
Encik Giam pula bimbang perubahan itu dapat mengehadkan akses kepada penjagaan yang diperlukan jika rawatan atau institut perubatan tertentu tidak mendapat kelulusan bagi sesuatu rawatan atau perkhidmatan, antara lain.
Menjawab soalan dan kebimbangan yang diutarakan oleh Dr Wan berkenaan kemampanan premium bagi skim tersebut, Cik Rahayu berkata pemerintah sedang melakar semula sistem penjagaan kesihatan.
Ini di samping menggunakan Penilaian Teknologi Kesihatan bagi teknologi dan ubat dengan kos tinggi agar pemerintah dapat menilai keberkesanan klinikal dan ia kos efektif sebelum melanjutkan perlindungan pembiayaan kepada ubat atau teknologi tersebut, tambahnya.
Menjelaskan soalan Encik Parekh dan Encik Giam, Cik Rahayu menjelaskan bahawa satu rangka kerja akan dirangka bagi kelulusan, penggantungan dan penarikan semula institusi perubatan yang telah diluluskan di bawah skim tersebut.
Ini di kala pemerintah pada 11 Oktober mengumumkan penyediaan pakej sokongan sebanyak $4.1 bilion untuk membantu rakyat Singapura mengimbangi kenaikan premium selama tiga tahun akan datang berikutan peningkatan kepada Skim MediShield Hayat.
Langkah tersebut merangkumi $0.7 bilion sebagai subsidi kenaikan premium, dengan lebih banyak subsidi diberikan kepada warga emas yang mempunyai pendapatan rendah dan sederhana, dan $3.4 bilion untuk tokokan MediSave tambahan.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, dalam satu sidang media, sambil menambah bahawa premium MediShield Hayat perlu dinaikkan mulai April 2025 untuk menyokong penambahbaikan kepada skim insurans kesihatan nasional itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg