Pemeriksaan keselamatan yang lebih ketat akan dijalankan di sekitar Hotel Shangri-La dan Galeri Nasional Singapura pada hujung minggu ini, apabila pemimpin dan perwakilan dunia berhimpun sempena sidang puncak pertahanan tahunan.
Polis mengeluarkan panduan trafik dan keselamatan pada 29 Mei menjelang Dialog Shangri-La IISS ke-21, yang akan diadakan di Hotel Shangri-La Singapura dari 31 Mei hingga 2 Jun.
Majlis resepsi dan makan malam akan diadakan di Galeri Nasional Singapura pada 1 Jun.
Pemandu kenderaan dinasihatkan supaya mengelakkan jalan berhampiran hotel tersebut, termasuk Anderson Road dan Orange Grove Road, semasa tempoh acara itu berlangsung, kata polis.
Mereka yang menuju ke Stevens Road atau Balmoral Road dari Tanglin Road boleh menggunakan Scotts Road.
Begitu juga dengan mereka yang menuju ke Orchard Road dari Stevens Road.
Mereka yang menuju ke Ardmore Park harus menggunakan Draycott Park atau Draycott Drive, kerana tiada jalan melalui antara tiang lampu 8 di Ardmore Park dengan Anderson Road dari 11 malam pada 30 Mei hingga 5 petang pada 2 Jun.
Kemasukan kenderaan komersial dengan plat pendaftaran bermula dengan G, W, X atau Y ke Anderson Road, akan dihadkan.
Memandangkan tempat letak kereta dalam Shangri-La terhad, tetamu hotel harus menaiki pengangkutan awam atau menggunakan teksi dan khidmat pengangkutan.
Kenderaan yang diletakkan secara haram atau menyebabkan halangan akan ditarik, ujar polis.
Selain itu, beberapa jalan dan lorong di sekitar Galeri Nasional Singapura akan ditutup dari 1 Jun hingga 6 pagi pada 2 Jun.
Pergerakan lalu lintas dijangka perlahan sepanjang North Bridge Road dan High Street.
Pemandu kenderaan dinasihatkan supaya mengelak jalan tersebut.
Mereka yang ke Beach Road atau Nicoll Highway melalui High Street, Parliament Place dan St Andrew’s Road dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif, melalui Hill Street diikuti Middle Road atau Upper Pickering Street ke arah Collyer Quay.
Tempat letak kereta di Bangunan Parlimen dan The Adelphi boleh diakses oleh orang ramai dari 9 pagi hingga 6.30 petang, pada 1 Jun.
Mulai 6.30 petang hingga 11 malam pada hari yang sama, kenderaan tidak akan dibenarkan masuk atau keluar dari tempat letak kereta itu.
Kawasan larangan sementara di Hotel Shangri-La akan dikuatkuasakan pada 7.30 pagi setiap hari dari 31 Mei hingga 2 Jun.
Sekatan pada 31 Mei akan berakhir pada 11.30 malam, diikuti 7.30 malam pada 1 Jun dan 3.30 petang pada 2 Jun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg