Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Elaun anggota NSF naik $35-$75 mulai 1 Jul

Bakal terima elaun $790-$1,530 bergantung pada pangkat dan kerja
Mar 3, 2025 | 7:49 PM
Mindef turut menyasarkan untuk meningkatkan kesejahteraan psikologi anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF), seperti yang telah dilakukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Mindef turut menyasarkan untuk meningkatkan kesejahteraan psikologi anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF), seperti yang telah dilakukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - Foto fail

Elaun anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) akan dinaikkan antara $35 dengan $75, atau 4 hingga 5 peratus, mulai 1 Julai 2025.

Membalas kenyataan Encik Gerald Giam (GRC Aljunied) dalam perbahasan Jawatankuasa Pembekalan (COS) Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 3 Mac, Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Heng Chee How, berkata kenaikan itu adalah berdasarkan semakan terkini.

Encik Giam berhujah bagaimana Perkhidmatan Negara (NS) harus bersifat nilai tambah secara konsisten.

Encik Heng menjelaskan bahawa jumlah elaun dinilai secara kerap dan kemas kini terakhir dibuat pada Julai 2023 – ketika itu, elaun dinaikkan sebanyak $125 hingga $200.

“Kami mengiktiraf sepenuhnya dan menghargai sumbangan anggota NSF bagi pertahanan negara ini,” ujarnya.

Ini merupakan semakan kelima dan terkini Mindef.

Encik Heng pernah berkongsi dalam COS 2024 bahawa dalam 10 tahun sejak kebelakangan ini, elaun anggota NSF telah disemak sebanyak empat kali.

Dengan semakan terkini, anggota NSF bakal menerima elaun $790 hingga $1,530, bergantung pada pangkat dan kerja.

Buat masa ini, anggota NSF mendapat elaun $755 hingga $1,455.

Memberi perkembangan terkini tentang kesejahteraan anggota kerahan, beliau berkata Mindef sasar meningkatkan kesejahteraan psikologi anggota NSF, seperti yang telah dilakukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Cik Joan Pereira (GRC Tanjong Pagar) dan Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar), yang mengajukan soalan tentang maklumat terkini berhubung kesejahteraan psikologi anggota NSF.

Beliau menambah Mindef memulakan projek rintis dengan pasukan jagaan bergerak pada 2024 bagi meningkatkan penjagaan NSF melalui peralihan dalam latihan asas tentera (BMT) – yang harus dilalui anggota NSF tentera.

Pasukan ini, jelas beliau, terdiri daripada ahli psikologi dan kaunselor, yang bekerjasama dengan komander unit.

Pejabat Kesihatan Mental kementerian itu juga menjalankan kempen kesejahteraan pada 2024 untuk memupuk budaya tempat kerja yang positif di seluruh Mindef dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Modul pembelajaran elektronik untuk kesihatan mental juga telah dilancarkan pada 2024 bagi memberikan anggota NSF pengetahuan bagi membina budaya tempat kerja yang positif dan menyokong rakan sekerja, tambah beliau.

SAF juga menubuhkan Pusat Daya Ketahanan Tentera (AReC) pada Mac 2024, yang bekerjasama dengan pusat latihan dan unit “melaksanakan kurikulum latihan ketahanan berstruktur” dan program melakar semula program latihan bagi “meningkatkan daya tahan mental anggota tentera dan penyesuaian kepada kehidupan ketenteraan”, katanya.

Beliau berkata tahap penyertaan latihan lebih tinggi dan keupayaan lebih baik untuk menangani tugas yang mencabar semasa latihan ketenteraan telah dilaporkan dalam BMT selepas pelaksanaan langkah sedemikian.

Berkenaan Skim Bekerja Sambil Belajar (WLS) yang telah diperkenalkan sejak 2018 untuk membantu anggota NSF mencapai aspirasi akademik, Encik Heng menjelaskan bahawa lebih 650 anggota NSF telah melibatkan diri dalam sembilan WLS – sebahagian kini berkhidmat dalam peranan seperti pakar siber dan teknisyen angkatan udara.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Encik Mohd Fahmi Aliman (GRC Marine Parade) bagi maklumat terkini terhadap kemahiran berterusan bagi anggota NSF.

“Kami juga sedang meninjau usaha peringkat awal atau ‘upstream’ untuk memanfaatkan bakat anggota NSF sebelum mereka menjadi anggota kerahan.

“Baru-baru ini, kami telah bekerjasama dengan Politeknik Temasek bagi Penajaan SAF-Politeknik untuk Pakar Sistem Peperangan Tentera Laut – mereka yang dipilih akan berkhidmat selama lima tahun, memenuhi keperluan latihan amali, sementara menimba kemahiran relevan,” kata Encik Heng.

Beliau menambah kadar penyertaan bagi skim ini “adalah memberangsangkan” dan ini akan diperluaskan kepada politeknik dan vokasi lain dalam masa terdekat.

Kami mengiktiraf sepenuhnya dan menghargai sumbangan anggota NSF bagi pertahanan negara ini.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Heng Chee How.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg