Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura tingkat upaya sistem tanpa pemandu dalam tentera

 Ini di kala peranan dron kian berkembang dalam peperangan moden
Mar 3, 2025 | 7:00 PM
Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, berkata Singapura sedang mempertingkatkan kebolehan sistem tanpa pemandu, sedang peranan dron kian berkembang dalam arena peperangan moden.
Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, berkata Singapura sedang mempertingkatkan kebolehan sistem tanpa pemandu, sedang peranan dron kian berkembang dalam arena peperangan moden. - Foto fail

Singapura sedang mempertingkatkan kebolehan sistem tanpa pemandu, di kala peranan dron kian berkembang dalam arena peperangan moden, kata Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen.

Ini akan melibatkan penubuhan pusat baru bagi pembangunan dan penyepaduan kenderaan tanpa pemandu dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), selain pembentukan kumpulan baru untuk membangunkan kebolehan pencegahan dron bagi SAF.

Dr Ng berkata demikian sebagai menjawab soalan Encik Vikram Nair (GRC Sembawang) dan Encik Henry Kwek (Kebun Baru) berkenaan perkembangan penggunaan sistem tanpa pemandu dalam perbahasan Jawatankuasa Pembekalan (COS) Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 3 Mac di Parlimen.

Beliau berkata: “Tentera bukan sahaja harus dapat menyepadukan teknologi baru (sistem tanpa pemandu) pada struktur dan operasi (ketenteraan), bahkan menentang dan mempertahankan daripada ancaman ini… (seperti) dron.”

Dr Ng menukil contoh hasil kajian Sekolah Ekonomi Kyiv, yang mendapati kemampuan Ukraine menghasilkan empat juta dron setiap tahun, iaitu peningkatan 100 kali ganda berbanding sebelum perang dengan Russia.

Dron-dron sebegini katanya digunakan bagi tujuan antara lain penyasaran, pengumpulan risikan dan operasi serangan.

Ini menyerlahkan peranan dron yang semakin ketara dan kian berkembang, ujarnya.

Beliau juga berkata perbezaan ketara dari segi kos antara serangan berasaskan dron dengan tindakan pencegahan konvensional agak jelas, sambil menukil contoh serangan dron puak Houthi ke atas kapal perang Amerika Syarikat di perairan laut Yaman.

Beliau menambah, puak Houthi membelanjakan $15 juta untuk menggunakan 100 dron, tetapi hampir $250 juta telah dikeluarkan bagi mempertahankan atau melindungi daripada serangan dron sedemikian – sesuatu yang tidak mampan secara kewangan, ujar beliau.

Ini di samping pemerolehan Sistem Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAS) kecil yang dijual secara komersial di pasaran terbuka, yang boleh diguna semula sebagai senjata untuk menimpakan kerosakan oleh kumpulan pengganas, kata Dr Ng.

Oleh itu, mencari penyelesaian yang kos efektif terhadap serangan dron kecil dalam skala besar kini menjadi tumpuan penting, tambahnya.

“Saya tidak mahu memberikan tanggapan yang salah bahawa ia sangat mudah dan terdapat penyelesaian komprehensif untuk menangani semua UAS,” ujarnya.

Untuk membina keupayaan pencegahan UAS bagi SAF – termasuk sensor, penyekat radar dan huraian senjata bagi mengesan dan mematikan dron lebih kecil – satu kumpulan Pembangunan dan Operasi Pencegahan-UAS SAF (Scudo) akan ditubuhkan.

Ia akan bekerjasama dengan agensi pemerintah lain bagi melindungi Singapura daripada ancaman UAS.

Bagi RSAF, Pusat Taktik dan Peperangan Sistem Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAS) telah ditubuhkan bagi membangunkan peperangan dan penyepaduan UAS dengan pasukan SAF lain, serta bekerjasama dengan industri dan agensi teknologi lain.

SAF juga akan membentuk kumpulan serupa yang dipanggil Pemecut Dron bagi Kelengkapan Pantas (Dare) bagi meningkatkan operasi platform tanpa pemandu bagi unit di SAF.

Dalam pada itu, antara lain, Dr Ng mengumumkan bahawa Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) akan memperoleh dua lagi kapal selam jenis Invincible-Class, di samping empat kapal selam jenis sama sedia ada yang mengikut jadual akan beroperasi sekitar 2028.

Beliau juga mengumumkan bahawa RSAF sedang menilai pesawat yang sesuai untuk menggantikan pesawat ronda maritim Fokker-50.

Pemerolehan lapan jet pejuang F-35A, seperti yang diumumkan beliau pada 2024, telah disahkan – ini di samping 12 jet pejuang F-35B yang diperoleh Singapura sebelum ini.

Bagi SAF pula, kenderaan tempur infantri baru yang diberi nama ‘Titan’ bakal diperoleh.

Dr Ng berkata kenderaan itu akan dilengkapi meriam 30 milimeter dan kebolehan mencegah UAS.

Secara keseluruhan, beliau berkongsi bahawa unjuran perbelanjaan Mindef bagi tahun kewangan (FY) 2025 adalah sekitar $23.4 bilion, iaitu 12.4 peratus lebih tinggi daripada 2024, berikutan pelaksanaan projek yang tertunda atau tergendala dek Covid-19.

“Tentera bukan sahaja harus dapat menyepadukan teknologi baru (sistem tanpa pemandu) pada struktur dan operasi (ketenteraan), bahkan menentang dan mempertahankan daripada ancaman ini… (seperti) dron.”
Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg