Jabatan Pilihan Raya (ELD) memutuskan untuk tidak meneruskan aturan khas bagi mengundi di rumah rawatan.
Pengundian khas di rumah rawatan pernah dijalankan dalam tempoh percubaan semasa Pilihan Raya Presiden 2023 (PE2023), dan melibatkan pengundi yang tinggal di 31 rumah rawatan terpilih.
Menurut kenyataan ELD pada 15 Oktober, keputusan tersebut diambil selepas mengambil kira kerumitan operasi tambahan yang diperlukan untuk melaksanakan aturan khas itu dalam Pilihan Raya Umum.
Namun, penghuni rumah rawatan masih boleh mengundi di pusat mengundi yang ditetapkan buat mereka.
Aturan pengundian khas semasa PE2023 disediakan dalam dua cara.
Pengundi sama ada membuang undi di pusat mengundi yang disediakan ELD di rumah rawatan mereka, atau pusat mengundi bergerak apabila pegawai pilihan raya (EO) akan membawa kotak dan kertas undi kepada penghuni, dan penghuni mengundi terus dari katil masing-masing.
Selepas PE2023, ELD telah menjalankan semakan atas aturan percubaan tersebut, dan mendapati tiga sebab utama yang membawa kepada keputusan mereka untuk tidak meneruskan aturan khas itu.
Pertama, kapasiti mental pengundi yang terhad. Kededua EO dan wakil parti politik mendapati ramai penghuni tidak mampu memahami kepentingan undi mereka, walaupun selepas diberi penjelasan daripada EO.
Akibatnya, kadar undi yang ditolak adalah tinggi.
Sebanyak 15.3 peratus daripada jumlah undi yang dibuat di rumah rawatan ditolak. Ini berbanding dengan 2 peratus undian yang ditolak secara umum.
Kedua, terdapat risiko kerahsiaan pengundian terjejas.
Meskipun terdapat langkah yang diambil untuk menjaga kerahsiaan pengundian di pusat mengundi bergerak, seperti mewajibkan semua EO menjarakkan diri daripada penghuni apabila mereka menanda kertas undi, masih terdapat kebimbangan yang kerahsiaan mengundi mungkin dikompromi.
Ini disebabkan jarak yang dekat antara satu katil dengan yang lain.
Ketiga, aturan khas itu mencabar dari segi operasi dan memerlukan banyak sumber.
Beberapa pengendali rumah rawatan berkongsi bahawa mencabar untuk mereka menyokong usaha percubaan itu kerana ia menambah bebanan kerja kepada kakitangan mereka.
Ini di samping tugas utama mereka untuk menjaga para penghuni.
Sekitar 20 EO juga telah dikerahkan di setiap rumah rawatan untuk berkhidmat untuk sekitar 300 pengundi di rumah rawatan.
Bilangan EO yang sama berkhidmat bagi antara 2,501 dengan 3,000 pengundi di setiap pusat mengundi biasa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg