Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penghuni rumah penjagaan undi dari katil untuk kali pertama

Sep 1, 2023 | 7:09 PM
SISTEM INKLUSIF: Penduduk rumah penjagaan yang tidak boleh bergerak boleh mengundi dari katil mereka, dengan bantuan pegawai pilihan raya.
SISTEM INKLUSIF: Penduduk rumah penjagaan yang tidak boleh bergerak boleh mengundi dari katil mereka, dengan bantuan pegawai pilihan raya. - Foto fail

Buat kali pertama dalam pilihan raya di Singapura, beberapa penghuni yang terlantar di rumah penjagaan yang terpilih berpeluang mengundi melalui percubaan pusat mengundi bergerak yang membawa pengundian ke sisi katil.

Ia adalah sebahagian daripada percubaan yang melibatkan penubuhan pusat mengundi di 31 rumah penjagaan di sini, salah satu ciri utama Pilihan Raya Presiden 2023, yang sedang diadakan untuk memilih Presiden kesembilan Singapura.

Rumah penjagaan, Society for the Aged Sick (SAS), yang mempunyai 360 penghuni, merupakan salah satu rumah penjagaan yang terlibat dalam percubaan itu.

Terdapat 83 rumah penjagaan di Singapura pada 2022, kata Kementerian Kesihatan (MOH) di laman webnya.

Pada masa lalu, penghuni rumah penjagaan – kebanyakannya mengalami kesukaran berjalan – berkerusi roda dan terpaksa beratur di pusat mengundi, yang biasanya diadakan di sekolah atau balai rakyat.

Beberapa penduduk yang terlantar tidak mengundi kerana tidak mahu keluar mengundi dengan berkerusi roda.

Setiap rumah penjagaan yang dipilih untuk percubaan ini mempunyai lebih daripada 50 pengundi.

Jabatan Pilihan Raya (ELD) sebelum ini berkata percubaan ini akan memanfaatkan seramai 4,087 pengundi.

Cik Lee Dan Lin, 75 tahun, yang telah menetap di SAS selama kira-kira lima tahun dan menggunakan kerusi roda, merupakan antara penghuni pertama yang mengundi di dewan serba guna rumah penjagaan itu pada Jumaat.

Menurut Cik Lee, mengundi di rumah penjagaan itu lebih mudah daripada pergi ke pusat mengundi.

Seluruh proses hanya mengambil masa lima minit, berbanding dengan tempoh masa diambilnya sebelum ini untuk pergi dan beratur di pusat mengundi.

Proses mengundi di rumah penjagaan yang terpilih sama seperti di pusat pengundian lain. Setiap penghuni yang layak terlebih dahulu mengemukakan kad pengenalan dan kad undian semasa pendaftaran.

Mereka kemudian menerima kertas undi, menandakan undi lalu memasukkannya ke dalam peti undi.

Penduduk yang layak tetapi tidak boleh bergerak boleh mengundi dari katil mereka, dengan bantuan pegawai pilihan raya untuk pengesahan identiti dan membantu mereka mengundi menggunakan petak mengundi mudah alih.

Tanpa pengesahan identiti atau sekiranya tidak memberi respons kepada pasukan mengundi bergerak, mereka tidak akan diserahkan kertas undi untuk membuat undian.

Untuk berhubung dengan penghuni, ELD menyediakan rakaman audio dalam empat bahasa rasmi dan lima dialek Cina – Kantonis, Hokkien, Teochew, Hakka dan Hainan.

Ketua pegawai operasi SAS, Cik Kate Koh, berkata seramai 12 kakitangan rumah penjagaan membantu dalam penyelarasan bersama pasukan pegawai pilihan raya yang berbeza.

Kakitangan rumah penjagaan tidak dibenarkan menanda kertas undi bagi pihak pengundi atau terlibat dalam sebarang tindakan yang boleh mempengaruhi pengundi.

Kakitangan rumah penjagaan juga perlu menjarakkan diri sebelum penduduk menandakan kertas undi, menurut seorang jurucakap ELD kepada akhbar The Straits Times.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg