Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ELD perjelas cara undi menerusi pos bagi warga di luar S’pura

Antara lain pengundi perlu pastikan sampul kertas undi pos sampai ke Pegawai Pengurus Undi di sini tidak lebih 10 hari lepas hari mengundi
Jul 24, 2023 | 3:49 PM
UNDI DARI LUAR NEGARA: Proses dan pengiraan kertas undi menerusi pos akan dilakukan menerusi Sistem Imbasan dan Pengesahan Tandatangan (SSVS).
UNDI DARI LUAR NEGARA: Proses dan pengiraan kertas undi menerusi pos akan dilakukan menerusi Sistem Imbasan dan Pengesahan Tandatangan (SSVS). - Foto ST

Warga Singapura di luar negara yang memilih mengundi menerusi pos perlu memastikan sampul mengandungi kertas undi pos yang bertanda sampai kepada Pegawai Pengurus Undi di Singapura tidak lebih 10 hari selepas hari mengundi.

Ini dinyatakan Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada Isnin apabila ia membentangkan lebih banyak butiran mengenai proses undi menerusi pos yang akan dilaksanakan buat kali pertama mulai Pilihan Raya Presiden 2023.

Sebelum ini, warga Singapura di luar negara perlu secara fizikal pergi ke salah sebuah daripada 10 stesen mengundi di luar negara untuk membuang undi.

Menurut ELD, pada hari pengiraan undi luar negara, sampul yang tidak boleh dikira akan dikeluarkan. Ini termasuk yang koyak atau yang tarikhnya lewat, iaitu melepasi sehari sebelum hari mengundi di Singapura.

Setiap sampul akan disahkan menerusi kod QR unik yang dicetak di atasnya dan dengan memadankan tanda tangan di sampul itu dengan yang diserahkan oleh pengundi sewaktu pendaftaran.

Proses ini akan dijalankan oleh mesin Sistem Imbasan dan Pengesahan Tandatangan (SSVS).

Setelah lulus fasa ini, kertas undi melalui pos itu akan disatukan dengan kertas undi luar negara sebelum pengiraan dimulakan.

Pegawai pilihan raya kemudian akan membuat pengiraan sambil disaksikan oleh calon dan ejen pengiraan yang hadir.

Pendaftaran bagi undi luar negara sedang dibuka dan akan ditutup pada hari kedua setelah Writ Pilihan Raya dikeluarkan.

Untuk layak mengundi di luar negara, warga Singapura di luar negara juga mesti telah menetap di Singapura berjumlah sekurang-kurangnya 30 hari sepanjang tiga tahun lalu.

Undang-undang itu dipinda baru-baru ini supaya syarat itu dipenuhi sebelum tarikh pendaftaran sebagai pengundi luar negara, dan bukan tarikh yang ditetapkan bagi Semakan Daftar Pengundi, iaitu pada 1 Jun 2023.

Ini memberi warga Singapura lebih banyak masa untuk memenuhi syarat tersebut.

Menurut ELD, berdasarkan pemerhatian mereka semasa percubaan yang dijalankan sebelum ini, sebahagian sampul tidak mempunyai tanda pos, justeru tidak boleh diterima untuk pengiraan.

Sampul dari beberapa negara juga mengambil masa lebih lama, iaitu lebih 10 hari untuk sampai di Singapura.

Di samping itu, ada tandatangan tidak dapat dipadankan oleh mesin SSVS dengan tandatangan yang diserahkan oleh pengundi, contohnya tandatangan tidak jelas, tandatangan dibuat di atas kertas ronyok atau kertas yang mempunyai garisan.

ELD mencadangkan agar pengundi pos dari negara tertentu melekatkan setem pos di sampul mereka bagi memastikan ia bertanda pos oleh perkhidmatan pos luar negara.

Negara itu ialah Israel, Oman, Arab Saudi, Turkey, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Australia, New Zealand, Kemboja, Indonesia, Laos, Thailand, Vietnam, Bangladesh, Belgium, Brazil, Ghana, India, Korea Selatan dan Taiwan.

ELD menasihati pengundi agar menandakan kertas undi mereka dan mengirimkannya awal daripada menunggu hingga sehari sebelum hari mengundi untuk melakukan demikian.

Mereka juga dinasihati supaya menyerahkan imej tandatangan yang baik sewaktu pendaftaran, termasuk yang dapat dilihat dengan jelas menggunakan latar belakang putih.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg