Jabatan Pilihan Raya (ELD) menolak dakwaan palsu mengenai cap-X baru yang menyatakan dakwat yang digunakan akan hilang.
Dakwaan tersebut tersebar di media sosial baru-baru ini.
ELD dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 31 Ogos berkata ia sedar akan “maklumat palsu yang timbul semula dalam talian dan wadah mesej segera bahawa cap-X baru yang disediakan ELD bagi Pilihan Raya Presiden 2023 menggunakan dakwat yang hilang”.
“ELD ingin menyatakan secara mutlak bahawa ini tidak benar. Tanda yang dibuat menggunakan cap-X adalah kekal,” tambah kenyataan tersebut.
ELD menjelaskan bahawa dakwat yang digunakan bagi cap-X berasaskan minyak dan ia tahan air dan suhu.
Namun, penggunaan cap tersebut tidak wajib dan pengundi boleh membawa pena mereka sendiri untuk menandakan kertas undi.
“ELD komited memastikan keselamatan dan kerahsiaan pengundian dan telah meletakkan kawalan ketat pada setiap langkah dalam proses pengundian untuk memastikan perkara ini,” tekan jabatan tersebut.
Pena-X yang mula diperkenalkan pada Pilihan Raya Umum 2020 juga bertujuan digunakan sebagai cap, tetapi sesetengah pengundi telah cuba memangkah menggunakan pena.
Pada 2020, ELD juga terpaksa menafikan dakwaan palsu pada Hari Mengundi bahawa Pena-X yang disediakan di pusat mengundi tidak boleh digunakan dengan betul dan akan menyebabkan banyak undian tidak sah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg