Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

EMA lantik perunding kaji teknologi nuklear termaju

Sep 3, 2025 | 2:09 PM
Singapura, EMA, tenaga nuklear, teknologi
Menurut Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), Singapura masih belum membuat keputusan untuk menggunakan tenaga nuklear, namun penting untuk terus membina keupayaan dan meningkatkan pemahaman mengenai tenaga itu. - Foto ST

Pemerintah telah melantik Mott MacDonald, sebuah firma perunding dengan lebih 60 tahun pengalaman dalam industri tenaga nuklear, untuk mengkaji aspek keselamatan dan kebolehlaksanaan teknologi nuklear termaju seperti reaktor modular kecil (SMR).

Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) pada 2 September berkata firma perunding kejuruteraan, pengurusan dan pembangunan global itu akan menjalankan satu kajian bagi menilai prestasi keselamatan dan kebolehlaksanaan teknikal teknologi tersebut.

Kajian selama setahun itu akan memberi tumpuan kepada ciri keselamatan, tahap kematangan teknologi dan kesiapsiagaan komersial teknologi nuklear termaju tersebut, lapor The Straits Times (ST).

Teknologi nuklear termaju merujuk kepada reaktor generasi keempat yang kebanyakannya masih dalam peringkat pembangunan dan direka untuk menjadi lebih selamat serta menghasilkan sisa radioaktif yang lebih rendah.

Ini termasuk SMR, iaitu sistem padat yang boleh dipasang di kilang dan digunakan di kawasan bandar dengan jumlah penduduk tinggi kerana memerlukan ruang yang lebih kecil, serta reaktor termaju yang menggunakan sistem penyejukan atau bahan api baru.

“Dengan lebih 60 tahun pengalaman dalam industri tenaga nuklear, Mott MacDonald telah menyediakan khidmat nasihat teknikal, peraturan dan dasar kepada pembangun teknologi dan agensi pemerintah dalam bidang teknologi tenaga nuklear termaju dan analisis keselamatan nuklear,” kata EMA.

Pengarah Teknologi Tenaga EMA, Encik Darryl Chan, berkata:

“Sebagai sebahagian daripada kajian ini, kami menjangkakan Mott MacDonald akan menjalankan pemodelan simulasi bagi mengesahkan lagi prestasi keselamatan teknologi tenaga nuklear termaju.”

Firma itu telah menyokong pelbagai agensi pemerintah dan badan kawal selia di serata dunia melalui penilaian teknikal yang objektif.

Menurut Encik Chan, dalam penilaian cadangan oleh EMA, Mott MacDonald menunjukkan prestasi baik dari segi kualiti, daya saing harga, serta rekod prestasi dalam teknologi tenaga nuklear termaju dan keselamatan nuklear.

Selain teknologi, Singapura juga perlu membina keupayaan dan menjalankan penilaian dalam pelbagai bidang seperti analisis impak alam sekitar, tambahnya.

Pelantikan Mott MacDonald dibuat susulan permintaan cadangan oleh EMA pada Disember 2024 untuk mengkaji keselamatan teknologi nuklear termaju yang sedang dibangunkan di peringkat global. 

Pemohon perlu mempunyai rekod kerja dalam sektor tenaga nuklear sejak 2014 dan menjelaskan hubungan mereka dengan pembangun teknologi tersebut.

Pada 2012, Singapura menganggap tenaga atom tidak sesuai untuk negara pulau kecil, namun pendekatan Singapura terhadap tenaga nuklear telah berubah dari semasa ke semasa selaras dengan kemunculan teknologi baru.

SMR kini semakin mendapat perhatian Singapura kerana ia dilihat lebih sesuai untuk negara yang kekurangan tanah.

Reaktor itu mempunyai kapasiti kuasa yang lebih rendah, piawaian keselamatan yang lebih tinggi dan memerlukan zon penampan yang jauh lebih kecil berbanding reaktor konvensional.

EMA pada 2 September menyatakan bahawa Singapura masih belum membuat sebarang keputusan untuk menggunakan tenaga nuklear. 

Namun begitu, penting bagi negara untuk terus membina keupayaan dan bekerjasama dengan pakar bagi meningkatkan pemahaman tentang tenaga nuklear, terutamanya teknologi nuklear termaju.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg