Singapura akan mengkaji potensi penggunaan tenaga nuklear di sini dan mengambil langkah selanjutnya untuk membina keupayaan secara sistematik dalam bidang ini, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 18 Februari.
Menyedari minat terhadap tenaga nuklear yang semakin meningkat di seluruh dunia, dengan beberapa negara di rantau ini merancang memasukkan nuklear dalam campuran tenaga mereka, Encik Wong berkata Singapura akan memerlukan keupayaan baru untuk menilai pilihan dan mempertimbangkan sama ada terdapat penyelesaian yang boleh digunakan negara ini dengan cara selamat dan menjimatkan kos.
Malaysia dan Indonesia, sebagai contoh, telah mengendalikan reaktor penyelidikan untuk beberapa waktu, katanya.
“Keupayaan ini juga diperlukan untuk keselamatan nuklear, yang akan menjadi lebih menonjol, memandangkan minat serantau yang semakin meningkat dalam kuasa nuklear,” kata Encik Wong, lapor The Straits Times.
Pemerintah juga akan menambah $5 bilion lagi ke dalam Dana Tenaga Masa Depan yang ada kini untuk menyokong usaha Singapura bagi mendapatkan tenaga bersih, katanya dalam ucapan Belanjawan 2025.
“Tidak kira import elektrik, hidrogen atau nuklear, kita perlu membuat pelaburan besar dalam prasarana baru,” tambah Encik Wong yang juga Menteri Kewangan.
Dana Tenaga Masa Depan itu diumumkan semasa Belanjawan 2024 dengan pelaburan awal $5 bilion.
Ia ditubuhkan untuk meningkatkan pelaburan ke dalam teknologi tenaga bersih yang mungkin melibatkan kos pendahuluan tinggi dan risiko komersial, teknologi dan geopolitik yang ketara.
Dana itu sebahagian usaha Singapura untuk menangani kekangan ke atas sumbernya.
Encik Wong memetik bagaimana negara ini telah mengatasi cabaran airnya melalui inovasi seperti mengitar semula air terpakai menjadi AirBaru dan membina perusahaan airnya.
“Hari ini, kita berdepan cabaran berbeza. Perusahaan masa depan – kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, biofarmaseutikal – sangat memerlukan tenaga intensif.
“Untuk memenuhi keperluan tenaga yang semakin meningkat ini dan pada masa yang sama, mengurangkan pelepasan karbon, kita memerlukan lebih banyak tenaga bersih,” katanya.
“Oleh itu, memperluaskan akses kepada tenaga bersih adalah keperluan utama negara,” tambahnya.
Singapura belum membuat keputusan untuk menggunakan tenaga nuklear.
Tetapi memandangkan negara ini terbatas dalam mengakses tenaga boleh diperbaharui, nuklear adalah antara pelbagai sumber karbon rendah yang dikaji negara ini.
Singapura kini bergantung kepada gas asli dan bahan api fosil untuk kira-kira 95 peratus keperluan tenaganya.
Sektor tenaga menyumbang kira-kira 40 peratus daripada jumlah pelepasan karbon negara ini.
Usaha mencapai sasaran iklim jangka panjang Singapura iaitu pelepasan sifar bersih menjelang 2050 memerlukan pengurangan pelepasan karbon daripada sektor itu.
Menurut Encik Wong, walaupun Singapura sebelum ini menilai bahawa teknologi nuklear konvensional tidak sesuai buat Singapura, negara ini terus memantau perkembangan dalam bidang ini untuk memastikan pilihannya terbuka.
“Sejak itu, kita telah melihat kemajuan ketara dalam teknologi nuklear,” tambahnya, memberi contoh reaktor modular kecil (SMR) sebagai satu teknologi nuklear termaju yang mempunyai ciri keselamatan yang lebih baik daripada loji besar konvensional.
SMR ialah sistem padat yang boleh dipasang di kilang dan didirikan di kawasan bandar yang padat.
Kapasiti kuasa satu SMR kira-kira satu pertiga daripada reaktor tradisional.
“
“Untuk memenuhi keperluan tenaga yang semakin meningkat ini dan pada masa yang sama, mengurangkan pelepasan karbon, kita memerlukan lebih banyak tenaga bersih. Oleh itu, memperluaskan akses kepada tenaga bersih adalah keperluan utama negara.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg