EMA: Krisis Timur Tengah potensi dorong kenaikan harga elektrik di S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

EMA: Krisis Timur Tengah potensi dorong kenaikan harga elektrik di S’pura

Harga gas naik sehingga 50% di pasaran Eropah dan Asia selepas pengeluar gas asli cecair (LNG) henti pengeluaran
Mar 4, 2026 | 8:14 PM

EMA: Krisis Timur Tengah potensi dorong kenaikan harga elektrik di S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Singapore, EMA, electricity, Gulf War, Perang Teluk
Kediaman yang menggunakan tarif terkawal mungkin menyaksikan kenaikan harga dalam suku akan datang sekiranya kos bahan api kekal tinggi. - Foto fail

Harga elektrik di Singapura boleh meningkat sekiranya harga gas sejagat kekal tinggi berikutan ketegangan di Timur Tengah, kata Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).

Singapura bergantung kepada gas asli cecair (LNG) import untuk menjana 95 peratus elektriknya – termasuk bekalan dari Qatar yang dihantar melalui Selat Hormuz.

“Keadaan di Timur Tengah dijangka meningkatkan harga tenaga sejagat dan mengakibatkan harga elektrik domestik lebih tinggi,” kata jurucakap EMA sebagai menjawab pertanyaan The Business Times (BT).

Harga gas telah melonjak sehingga 50 peratus di pasaran Eropah dan Asia, selepas pengeluar LNG terbesar dunia, QatarEnergy, terpaksa menghentikan pengeluaran akibat serangan dron.

Kebanyakan pengguna elektrik “mendapat perlindungan” daripada turun naik harga segera kerana mereka membeli elektrik sama ada melalui kontrak runcit dengan harga tetap daripada peruncit atau tarif terkawal daripada SP Group, ujar jurucakap itu.

Namun, segelintir pengguna yang menggunakan kontrak runcit mungkin menyaksikan kenaikan harga elektrik semasa pembaharuan kontrak, sekiranya kos bahan api masih tinggi pada masa itu, tambah jurucakap tersebut.

Kediaman yang menggunakan tarif terkawal juga mungkin menyaksikan kenaikan harga dalam suku akan datang sekiranya kos bahan api kekal tinggi.

Tarif terkawal diselaraskan setiap suku tahun berdasarkan purata kos bahan api dalam tempoh dua setengah bulan pertama pada suku sebelumnya.

“EMA akan terus memantau perkembangan sejagat dengan teliti dan bekerjasama dengan rakan industri bagi menjamin keselamatan tenaga Singapura,” kata jurucakap EMA.

Pasaran elektrik negara sebelum ini turut terjejas oleh krisis tenaga sejagat antara 2021 dengan 2022, yang mengakibatkan turun naik besar dalam harga elektrik borong.

Pasaran tenaga turut terjejas dengan pencerobohan Russia ke atas Ukraine, yang mencetuskan krisis tenaga, berserta permintaan tenaga pascapandemik yang tinggi dan langkah pengurangan gas yang tidak dirancang oleh Indonesia.

Ketidaktentuan harga elektrik menjejas peniaga elektrik di Singapura, terutama mereka yang tidak mengambil langkah mencukupi bagi melindungi pendedahan risiko mereka. 

Lima syarikat telah keluar daripada pasaran tenaga pada akhir 2021 – satu perkembangan yang dilihat sebagai satu kemunduran bagi proses liberalisasi sektor tenaga.

Sejak itu, EMA mengambil langkah mengukuhkan daya tahan pasaran.

Sejak 2021, pengawal selia tenaga itu telah menubuhkan kemudahan LNG siap sedia yang boleh digunakan syarikat penjanaan tenaga untuk menjana elektrik jika bekalan gas asli mereka terganggu.

EMA juga memerlukan syarikat penjanaan tenaga mengekalkan bekalan bahan api yang mencukupi untuk penjanaan elektrik berdasarkan keupayaan penjanaan sedia ada mereka.

Pada 2023, EMA memperkenalkan mekanisme had harga sementara untuk bertindak sebagai ‘pemutus litar’ yang diaktifkan semasa tempoh turun naik harga yang tinggi dan berterusan di Pasaran Elektrik Borong Singapura.

EMA juga menubuhkan pembeli gas terpusat baru, GasCo, bagi mendapatkan gas asli daripada pelbagai sumber dan menandatangani kontrak gas jangka panjang bagi menstabilkan harga.

“Langkah ini membantu menjamin bekalan bahan api dan elektrik serta mengurangkan turun naik harga,” kata jurucakap EMA.

GasCo tidak mengulas pertanyaan BT mengenai pendedahan Singapura terhadap pasaran gas Timur Tengah dan tindakan yang telah atau mungkin diambil bagi menstabilkan pasaran.

“Keadaan di Timur Tengah dijangka meningkatkan harga tenaga sejagat dan mengakibatkan harga elektrik domestik lebih tinggi... EMA (Penguasa Pasaran Tenaga) akan terus memantau perkembangan sejagat dengan teliti dan bekerjasama dengan rakan industri bagi menjamin keselamatan tenaga Singapura.”
Jurucakap Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg