Enam bangunan di tapak Akademi Polis Lama (OPA) di Mount Pleasant akan diusulkan bagi pemuliharaan, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Ini sungguhpun estet perumahan baru akan dibina di kawasan tersebut, kata beliau dalam satu catatan Facebook pada 28 Oktober.
Dalam catatan itu, Dr Faishal menambah bangunan sedemikian akan disesuaikan bagi kegunaan semasa, termasuk balai polis kejiranan yang baru.
Beliau berkata: “Kita akan memberi penghormatan kepada OPA yang kaya dengan sejarah.
“(Saya) gembira mendapat tahu Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) sedang mengambil langkah seterusnya mengusulkan enam bangunan di tapak OPA untuk dipulihara, dan disesuaikan bagi kegunaan kontemporari.
“Saya tidak sabar untuk terus bekerja rapat dengan anggota Kumpulan Kerja Warisan OPA, pakar warisan dan anggota golongan polis, di kala kita mempertimbangkan cara mengintegrasikan warisan dan sejarah yang begitu kaya ke dalam rancangan pembangunan kita.”
Pada November 2021, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, mengumumkan bahawa satu estet perumahan baru akan dibina di tapak OPA – seluas 33 hektar atau sekitar 40 padang bola sepak – untuk menyediakan 5,000 unit perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Projek Bina Ikut Tempahan (BTO) HDB pertama bagi kawasan itu akan dilancarkan pada 2025.
Bersempadan dengan Thomson Road dan Ekspreswe Rentas Pulau (PIE), estet perumahan baru itu berhampiran dengan kawasan perumahan matang seperti Toa Payoh.
Estet itu juga akan menempatkan stesen MRT Mount Pleasant di Laluan Thomson-East Coast (TEL), yang dijangka dibuka apabila pembangunan perumahan awam di kawasan itu siap.
Menurut laporan Berita Harian (BH) pada November 2021, enam bangunan di tapak OPA yang telah dikenal pasti untuk dipulihara terdiri daripada dua bangunan pentadbiran (Blok 1 dan 2) dan dua banglo kolonial yang dahulunya tempat tinggal pegawai kanan (Blok 27 dan 28).
Di luar estet, dua lagi bangunan akademi itu mungkin dikekalkan. Blok 153 dirancang dikekalkan sebagai Mes Pegawai Kanan Polis, manakala kegunaan Blok 13 akan dikaji.
Usul tersebut menyusuli satu kajian warisan yang dilakukan buat kali pertamanya secara terperinci antara Ogos 2018 hingga September 2019 bagi pembangunan itu.
Kajian itu mendapati bahawa OPA memainkan peranan penting dalam pembangunan pasukan polis Straits Settlements dan telah melatih pegawai polis dari 1920-an sehingga ia ditutup pada 2005, kata HDB, URA dan Penguasa Tanah Singapura (SLA).
Kenyataan itu menjelaskan: “Ia menandakan kali pertama Singapura mempunyai institusi tetap bagi melatih dan meningkatkan profesionalisme badan penguatkuasaan undang-undangnya.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg