Seramai enam warga Singapura tersenarai antara 500 individu Islam paling berpengaruh di dunia.
Mereka termasuk dalam edisi 2025 senarai tahunan, 'The Muslim 500: The World's 500 Most Influential Muslims' (Muslim 500: 500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia).
Empat daripada mereka disenaraikan sekurang-kurangnya tiga tahun berturut-turut.
Mereka termasuk mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob; Duta Singapura ke Kuwait (Bukan Pemastautin), Encik Zainul Abidin Rasheed; Pesuruhjaya Kehakiman, Encik Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir; dan imam Masjid Ba’alwie, Syed Hassan Muhammad Salim Alattas.
Dua lagi tokoh Singapura yang tersenarai adalah ahli tokoh akademik Dr Mustafa Izzuddin dan Professor Khairudin Aljunied. Ini tahun kedua berturut-turut mereka termasuk dalam senarai itu.
Senarai tersebut dikeluarkan oleh Pusat Pengajian Strategik Islam Diraja berpangkalan di Jordan.
Ia menyenaraikan individu yang mempunyai kuasa (budaya, ideologi, kewangan, politik mahupun sebaliknya) untuk membawa perubahan yang akan mempunyai kesan besar kepada Dunia Islam atau Muslim.
Kesan itu sama ada positif mahupun negatif, bergantung pada sudut pandangan seseorang.
Puan Halimah, 70 tahun, adalah presiden wanita pertama Singapura.
Menurut laporan ‘The Muslim 500’, beliau menggerakkan inisiatif yang menyokong masyarakat bersatu padu, memperkukuhkan kehidupan antara agama dan mengiktiraf pekerja yang menyumbang kepada kejayaan Singapura.
Encik Zainul, 76 tahun, adalah Utusan Khas Menteri Ehwal Luar Singapura ke Timur Tengah, selain memainkan peranan sebagai Duta Bukan Bermastautin Singapura ke Kuwait.
Dalam senarai itu, beliau disebut sebagai telah mengekalkan hubungan diplomatik Singapura bersama Dunia Muslim dan berkongsi kemahiran Singapura dalam mengekalkan hubungan antara kaum dan budaya dengan negara-negara yang mempunyai jumlah penduduk Muslim yang ramai.
Encik Mohamed Faizal, 44 tahun, dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Agung pada Mei 2024.
‘The Muslim 500’ menyatakan dengan pengalaman selama 18 tahun dalam Perkhidmatan Undang-Undang Singapura, beliau menggerakkan inisiatif pendidikan dan program biasiswa khusus untuk pelajar keluarga berpendapatan rendah.
Syed Hassan, 72 tahun, yang lebih dikenali sebagai Habib Hassan, disebut telah memainkan peranan penting dalam mengekalkan keharmonian kaum di Singapura dan di rantau Asia Tenggara.
Beliau mengutuk tindakan pengganasan dan menjadi pemaju usaha membawa masyarakat Islam menjalani kehidupan bersama agama lain di Singapura.
Dr Mustafa, 44 tahun, pula menerusi kerja kemasyarakatannya, menghasilkan pelbagai program sosiobudaya mampan serta menjadi peneraju dalam pembinaan jambatan antara agama, ujar ‘The Muslim 500’.
Beliau juga warga Singapura pertama dilantik sebagai Zamil Fulbright Asean oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, dan kekal sebagai satu-satunya warga Singapura yang dianugerahkan zamil berprestij dalam dialog peradaban oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Dunia Islam (Icesco).
Profesor Khairudin Aljunied, 48 tahun, pula merupakan pakar yang diiktiraf di peringkat sejagat dalam bidang sejarah intelek.
Penyelidikan beliau mengkaji interaksi dinamik antara Asia Tenggara dengan Islam antarabangsa.
Beliau juga aktivis cendekiawan yang kerap tampil dalam pelbagai media dan dokumentari.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg