Topik diikuti
Pergi ke BHkuEra AI: Pendidikan perlu tumpu pada bina nilai diri, jalin hubungan sesama manusia
Chun Sing: Generasi muda perlu dibekalkan dengan kemahiran menyuling, menilai, meneroka.
Era AI: Pendidikan perlu tumpu pada bina nilai diri, jalin hubungan sesama manusia
Pendidikan pada era kecerdasan buatan (AI) tidak lagi boleh dilihat sebagai proses penyampaian maklumat dan pengetahuan semata-mata, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada pembangunan nilai diri serta jalinan hubungan sesama manusia.
Menteri Penyelaras Bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, berkata jika pendidikan sekadar menyampaikan maklumat, peranan guru tidak akan ada bezanya dengan membaca buku atau menonton video di platform seperti YouTube.
Bercakap di Forum Global FutureChina 2026 pada 25 September yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands, Encik Chan menggariskan tiga kemahiran utama yang perlu dibekalkan kepada generasi muda.
Ia adalah distill (menyuling), discern (menilai) dan discover (meneroka) atau yang disifatkan beliau sebagai ‘3D’.
Menerangkan konsep tersebut, beliau menjelaskan bahawa kemahiran pertama, distill, adalah keupayaan menyuling maklumat teras di tengah-tengah kebanjiran maklumat masa kini di mana maklumat telah menjadi satu komoditi.
Kemahiran kedua, discern, pula melibatkan keupayaan membezakan antara betul dengan salah serta memisahkan fakta daripada rekaan.
“Kemahiran menilai (discern) memerlukan nilai-nilai murni. AI tidak boleh membantu kita menentukan nilai manusia atau mengambil alih pertimbangan manusia apabila ia melibatkan nilai diri.
“Memilih antara yang betul dengan salah mungkin mudah, tetapi membuat keputusan antara dua perkara yang nampak betul adalah pilihan yang lebih sukar,” jelas Encik Chan, yang juga Menteri Pertahanan.
Kemahiran ketiga, discover, merujuk kepada keupayaan meneroka perkara baharu di luar pengetahuan sedia ada.
Menurut Encik Chan, walaupun AI mampu menyelongkar seluruh internet untuk menyediakan ilmu dan dapatan peradaban manusia, nilai tambah sebenar manusia terletak pada keupayaan menemui penemuan serta perspektif baharu.
Namun, selain kemahiran 3D tersebut, Encik Chan menegaskan bahawa elemen paling penting dalam persekolahan adalah membina hubungan sesama manusia.
Ini, katanya, adalah sesuatu yang “tidak mungkin dapat digantikan oleh teknologi AI mahupun perhubungan di ruang siber semata-mata”.
“Anak-anak perlu terus ke sekolah kerana mereka perlu membina hubungan sesama manusia. Mereka tidak boleh melakukan perkara itu dengan AI sahaja atau sekadar berkomunikasi di ruang siber.
“Anda perlu berjabat tangan, bercakap dengan seseorang dan memahami keperibadian mereka. Ini adalah kemahiran asas – bagaimana anda membina hubungan manusia dan membentuk pasukan daripada pelbagai latar belakang,” kata beliau.
Semasa sesi tersebut, seorang peserta turut bertanya mengenai cabaran mendidik anak-anak yang menganggap pembelajaran di sekolah membosankan kerana sudah mempelajari pelbagai perkara menerusi media sosial.
Dalam jawapannya, Encik Chan mengingatkan bahawa sentuhan fizikal dan interaksi langsung tetap menjadi teras dalam pembentukan sahsiah dan kejayaan hidup, termasuk dalam dunia perniagaan.
Beliau menambah bahawa keupayaan memahami dan membina hubungan insan inilah yang akan terus menjadi kekuatan utama generasi akan datang dalam menghadapi dunia yang semakin mencabar dan berubah pantas.