Singapura dan China perlu bekerjasama untuk menggabungkan kekuatan melengkapi satu sama lain bagi merebut peluang yang muncul dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi hijau, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.

Kedua-dua negara juga harus menjadikan usaha membina Asean yang lebih kukuh dan berdaya tahan sebagai “keutamaan bersama”.

Ini, katanya, agar perusahaan tempatan dapat meraih manfaat daripada lebih banyak perdagangan dan pelaburan, dan pekerja juga dapat memperoleh kemahiran untuk meraih pekerjaan yang lebih baik.

“Singapura dan China telah meluangkan masa berdekad-dekad membina kepercayaan menerusi kerjasama yang saling menguntungkan.

“Kita kini harus memanfaatkan kepercayaan itu untuk membina keupayaan, di Singapura dan di seluruh Asean,” kata beliau.

Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan), berkata demikian semasa berucap di Forum Global FutureChina 2026 pada 25 September yang berlangsung di Ekspo dan Pusat Konvensyen Marina Bay Sands.

Mengulas mengenai hubungan dua hala kedua-dua negara, Encik Gan menarik perhatian bahawa kerjasama Singapura dan China tidak pernah statik.

Malah, hubungan itu masih berterusan menerusi projek mercu tanda seperti Taman Perindustrian Suzhou, Bandar Ekologi Tianjin dan Inisiatif Keterhubungan Chongqing.

Memandangkan China kini mengejar pemodenan industri dan Singapura juga sedang memperkemas strategi ekonomi menerusi Semakan Strategi Ekonomi (ESR), Encik Gan berkata kedua-dua negara boleh menggabungkan kekuatan dalam bidang baru.

Dalam bidang AI, Encik Gan berkata Singapura dan China boleh bertukar-tukar pandangan mengenai tadbir urus dan data, serta membina keyakinan terhadap penggunaan teknologi tersebut secara bertanggungjawab menerusi dialog dasar digital kedua-dua negara.

Dalam usaha ini, syarikat dan institusi penyelidikan boleh bekerjasama dalam aplikasi AI praktikal yang memenuhi keperluan perniagaan dan boleh membantu firma yang lebih kecil mengakses keupayaan yang mahal atau bersifat khusus (specialised).

Ia juga akan membolehkan pekerja memanfaatkan AI bersama-sama pengetahuan bidang dan pengalaman mereka untuk melaksanakan tugas baharu yang lebih kompleks, tambah Encik Gan.

“Reka bentuk semula pekerjaan dan latihan harus menjadi sebahagian daripada usaha ini, supaya transformasi perusahaan berjalan seiring dengan pembangunan tenaga kerja.

“Ini juga merupakan pendekatan yang kami ambil di bawah ESR,” kata Encik Gan.

Dalam bidang ekonomi hijau pula, Encik Gan berkata China mempunyai keupayaan teknologi dan pengilangan yang mendalam, manakala Singapura membawa kekuatan dalam bidang seperti kewangan, keterhubungan dan pelaksanaan projek.

Beliau menarik perhatian kepada koridor perkapalan hijau dan digital Tianjin yang menggabungkan ujian bahan api alternatif dengan pembangunan tenaga kerja.

Usaha ini telah membolehkan syarikat dan pekerja membuat persediaan awal menghadapi transformasi sektor maritim, tambahnya.

Dalam ucapannya juga, Encik Gan menegaskan bahawa kerjasama rapat ini amat penting sedang model ekonomi terbuka yang memakmurkan Asia kini diuji persaingan geopolitik dan kebimbangan agihan pertumbuhan.

Halangan perdagangan yang lebih tinggi, menurut beliau, hanya akan menyukarkan syarikat untuk menembusi pasaran baru dan memperoleh keupayaan.

“Kebimbangan ini boleh menyemarakkan tuntutan untuk perlindungan dan menyebabkan ekonomi menumpukan perhatian ke dalam serta menutup pintu.

“Namun, kita tidak boleh melawan keterbukaan dengan menutup pintu, sebaliknya membuatkan keterbukaan berfungsi lebih baik untuk perniagaan dan rakyat,” ujar beliau.

Encik Gan turut menyentuh tentang usaha untuk memperluas manfaat pertumbuhan ke seluruh Asean, sambil menekankan bahawa Asean yang lebih kukuh dan berdaya tahan harus menjadi “keutamaan bersama” bagi Singapura dan China.

Beliau berkata rantau yang lebih makmur akan menyediakan pasaran yang berkembang, rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan, serta rakan kongsi yang lebih kukuh untuk perniagaan..

“Peningkatan perdagangan dan pelaburan semata-mata tidak memadai,” kata Encik Gan.

“Kita juga mesti membantu perusahaan tempatan bergerak ke tahap lebih tinggi dalam rantaian nilai bagi meraih manfaat daripada peluang ini, serta membantu pekerja memperoleh kemahiran untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.”

Encik Gan juga menyatakan bahawa ketersambungan yang lebih baik, seperti melalui Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa, dapat membantu perusahaan Asean menjangkau pelanggan di China, di samping membuka peluang perniagaan baharu bagi syarikat logistik.

Koridor tersebut, yang menghubungkan bahagian barat China dengan Asia Tenggara dan kawasan lain, juga berupaya membawa keupayaan baharu.

Memberi contoh, Encik Gan berkata pelabur boleh bekerjasama dengan pembekal tempatan untuk meningkatkan piawaian kualiti, kaedah pengeluaran dan produk.

Rakan kongsi teknologi juga boleh membantu syarikat-syarikat kecil menggunakan peralatan digital sambil membangunkan keupayaan tempatan untuk menyesuaikan dan menyelenggara peralatan tersebut.