Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Evolusi manusia dan hidupan liar: Dulu tembak, kini dimandul

Pihak berkuasa ambil langkah lebih ihsan ke atas haiwan liar di estet perumahan
Jul 7, 2025 | 3:40 PM
Sejak 2023, pihak berkuasa telah memperkenalkan pendekatan lebih berperikemanusiaan untuk menangani peningkatan jumlah monyet di kawasan perumahan baru di Punggol.
Sejak 2023, pihak berkuasa telah memperkenalkan pendekatan lebih berperikemanusiaan untuk menangani peningkatan jumlah monyet di kawasan perumahan baru di Punggol. - Foto ST

Pada 2013, sebanyak 570 ekor monyet, iaitu sekitar sepertiga daripada keseluruhan jumlah monyet pada masa itu, telah ditakai (dihapuskan).

Ini selepas terdapat peningkatan jumlah aduan daripada penduduk yang diganggu oleh haiwan tersebut di kawasan Bukit Timah dan MacRitchie.

Sejak 2023, pihak berkuasa mula menggunakan pendekatan lebih berperikemanusiaan di estet baru di Punggol.

Sebahagian besar daripada 50 monyet yang ditangkap dimandulkan, manakala selebihnya ditakai kerana bersikap agresif, lapor The Straits Times (ST).

Pendekatan Singapura terhadap konflik manusia dan hidupan liar kini jauh lebih berperikemanusiaan.

Jika dahulu, anjing terbiar dan gagak akan ditembak, kini langkah seperti pemandulan dan alat penghalau sonar digunakan, dengan penakaian hanya dilakukan sebagai pilihan terakhir.

“Daripada bertindak balas setiap kali konflik berlaku, kami memberi tumpuan kepada mengenal pasti punca dan skala masalah itu untuk mencari penyelesaian jangka panjang, bukan langkah sementara,” kata Pengarah Kumpulan Pengurusan Hidupan Liar, Lembaga Taman Negara (NParks), Encik How Choon Beng.

Jabatan Encik How biasanya campur tangan dalam tiga keadaan utama melibatkan hidupan liar.

Ia termasuk apabila kesejahteraan haiwan terancam akibat kecederaan, spesies invasif seperti gagak menjejas ekosistem, atau hidupan liar menimbulkan ancaman keselamatan kepada penduduk.

Daripada hanya memberi tumpuan terhadap penghapusan haiwan, NParks kini melihat masalah itu secara lebih menyeluruh, dengan menggunakan pendekatan saintifik dan melibatkan masyarakat.

“Kami tidak mahu ambil jalan mudah... menakai terus. Jika ada kaedah yang sesuai, kami akan cuba,” ujar Encik How.

Sebahagian besar daripada 50 ekor monyet yang ditangkap dari Punggol dan Pulau Coney telah dimandulkan sejak 2023.
Sebahagian besar daripada 50 ekor monyet yang ditangkap dari Punggol dan Pulau Coney telah dimandulkan sejak 2023. - Foto ST

Namun begitu, terdapat keadaan apabila penakaian menjadi perlu – seperti serangan babi hutan dan kawanan besar burung merpati.

Jumlah babi hutan meningkat mendadak lebih 10 tahun lalu akibat ketiadaan pemangsa semula jadi dan kadar pembiakan tinggi. 

Babi hutan boleh melahirkan sehingga 12 anak babi, dua kali setahun.

Apabila haiwan itu mula memasuki kawasan kediaman yang baru dibangunkan serta taman semula jadi di utara Singapura, banyak kes serangan haiwan itu dilaporkan.

Terdapat 28 serangan yang dilaporkan dalam tempoh empat tahun hingga 2023.

Pada masa yang sama, ekosistem juga terjejas dek tabiat haiwan itu yang kerap mengorek tanah, hingga merosakkan anak pokok dan mengganggu langkah penghutanan semula.

Untuk mengawalnya, NParks memasang pagar dan ‘cattle grid’ (pengadang haiwan) pada sempadan antara kawasan semula jadi dengan perumahan.

Antara 2019 dengan pertengahan 2023, sekitar 50 ekor babi hutan telah ditakai di Taman Alam Semula Jadi Zhenghua di Bukit Panjang.

Burung merpati juga ditakai kerana najis haiwan itu menyebabkan masalah kebersihan dan mengganggu orang ramai. 

Walaupun usaha jangka panjang seperti menghalang orang ramai daripada memberi makan kepada merpati diperkenal, ia masih mengambil masa untuk membuahkan hasil.

Oleh itu, penakaian diperlukan dalam jangka masa terdekat untuk mengurangkan jumlah burung itu di kawasan tertentu dengan segera.

Pemandulan monyet telah lama dipertimbangkan oleh NParks.

Selepas tinjauan 2023 menunjukkan peningkatan jumlah monyet di Punggol, pihak berkuasa membuat unjuran jumlah berdasarkan kadar pembiakan dan kematian semula jadi, bagi menentukan kadar pemandulan optimum.

“Unjuran ini perlu disemak secara berkala bagi memastikan keberkesanannya,” jelas Encik How.

Pengarah Kumpulan Pengurusan Hidupan Liar, Lembaga Taman Negara (NParks), Encik How Choon Beng, di Paya Simpanan Sungei Buloh, pada 13 Jun 2025.
Pengarah Kumpulan Pengurusan Hidupan Liar, Lembaga Taman Negara (NParks), Encik How Choon Beng, di Paya Simpanan Sungei Buloh, pada 13 Jun 2025. - Foto ST

Bagi gagak, pasukan beliau memantau tingkah laku burung itu dan menguji langkah penyelesaian berbeza sejak 2022, termasuk memasang penjejak (‘tracker’) untuk melihat kesan pemangkasan pokok.

Kajian itu masih dilakukan.

Satu kajian pada 2008 menunjukkan memasang patung gagak plastik di Amerika Syarikat berkesan dalam menghalau kawanan besar.

Ini mendorong NParks mencubanya di kawasan bermasalah, seperti yang pernah dilakukan petani di luar negara.

Patung gagak plastik digantung pada pokok untuk menghalang kumpulan besar gagak berkumpul, sebagai sebahagian daripada percubaan yang sedang dijalankan oleh NParks.
Patung gagak plastik digantung pada pokok untuk menghalang kumpulan besar gagak berkumpul, sebagai sebahagian daripada percubaan yang sedang dijalankan oleh NParks. - Foto ST

Dengan lebih banyak bangunan dibina dan kehijauan kian diterap dalam kawasan bandar, hidupan liar seperti monyet, ayam kampung dan musang dijangka semakin mendekati kawasan kediaman, lantas menyebabkan konflik manusia dan hidupan liar terus berlaku.

Persatuan kebajikan haiwan telah menggesa Majlis Bandaran (TC), Badan Bukan Pemerintah (NGO) dan masyarakat supaya tidak menarik perhatian haiwan liar ke estet perumahan.

Ini termasuk tidak membawa beg plastik di kawasan yang ada banyak monyet, serta menyimpan sisa makanan dengan betul.

Walaupun penakaian kini dianggap langkah terakhir, ia masih berlaku.

Penduduk dan kumpulan kebajikan haiwan telah melahirkan rasa kecewa apabila melihat kawanan merpati terbaring tidak bergerak di atas tanah di Yishun pada 2023, dan membaca tentang monyet yang masih ditakai.

“Saya gembira langkah menembak gagak atau menakai ratusan monyet, semakin kurang. Tapi ia masih berlaku,” kata Ketua Eksekutif Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres), Encik Kalaivanan Balakrishnan.

Beliau mempersoalkan amalan “eutanasia berperikemanusiaan” bagi merpati yang sebenarnya melibatkan burung itu diletakkan dalam beg sampah yang kemudian dipam gas karbon dioksida.

Encik Kalaivanan menggesa pihak berkuasa agar mempertimbangkan kaedah jangka panjang seperti kontraseptif merpati dan tempat berteduh khas bagi kawalan telur.

Bekas penduduk Sin Ming Court, Encik Jun Chong, 34 tahun, berkata:

“Kadang-kadang, apabila kita tidak selesa dengan sesuatu, kita mahu jauhkan ia daripada pandangan. Tapi hidupan liar sudah menjadi sebahagian persekitaran kita – kita perlu belajar hidup bersama.”

Langkah terkini NParks:

Monyet

Seekor monyet berekor panjang berada di pagar pembinaan di utara Punggol.
Seekor monyet berekor panjang berada di pagar pembinaan di utara Punggol. - Foto ST

– Pemandulan untuk mengawal jumlah monyet bermula pada 2023. Sebahagian daripada 50 monyet yang ditangkap di utara Punggol dan Pulau Coney pada 2024 telah dimandulkan.

– Langkah mengetuk kayu ke tanah berulang kali untuk halau monyet dari kawasan bandar.

– Pemasangan selak dan tali ‘bungee’ pada tong sampah agar monyet tidak mudah membukanya.

– Alih pokok buah di Punggol, tanam lebih pokok buah di Pulau Coney untuk menarik perhatian monyet dari kawasan bandar

– Eutanasia hanya untuk monyet agresif 

Burung Merpati

Burung merpati makan dari pinggan mangkuk yang tidak dikembalikan oleh pelanggan di Pusat Makanan Changi Village.
Burung merpati makan dari pinggan mangkuk yang tidak dikembalikan oleh pelanggan di Pusat Makanan Changi Village. - Foto SHIN MIN NEWS DAILY

– Memasang paku burung di sekitar pusat makanan terbuka.

– Pelan kawalan sejak Julai 2024.

– Pemeriksaan kerap oleh pegawai NParks, kamera litar tertutup (CCTV), denda pada yang beri makan.

– Penutup pelindung pada kabinet makanan dan rak kembalikan pinggan mangkuk.

– Perangkap & eutanasia, jika perlu.

Gagak

Seekor gagak mengganggu pejalan kaki yang sedang berlalu berhampiran seekor lagi gagak yang cedera di Blok 110, Bishan Street 12, pada 2023.
Seekor gagak mengganggu pejalan kaki yang sedang berlalu berhampiran seekor lagi gagak yang cedera di Blok 110, Bishan Street 12, pada 2023. - Foto ST

– Bongkar sarang dan pangkas pokok.

– Percubaan patung gagak plastik di Katong (2025).

– Perangkap & eutanasia di Toa Payoh, Bishan, Siglap (2023–2024).

– Sebanyak 10,000 gagak ditembak antara 1995 dengan 1996.

Ayam Liar

Ayam liar kelihatan di sekitar Blok 441 hingga Blok 448, Sin Ming Avenue, pada September 2022.
Ayam liar kelihatan di sekitar Blok 441 hingga Blok 448, Sin Ming Avenue, pada September 2022. - Foto ST

– Pengumpulan telur di Sin Ming Court (2022).

– Pasang jaring payung untuk halang ayam jantan bertengger.

– Pindah ayam jantan bagi elak ayam betina membiak.

– Perangkap dan eutanasia, jika perlu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg