Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NParks: 200 laporan mengenai monyet di Punggol dalam 7 bulan

Punggol Utara, dahulunya hutan, jadi tumpuan monyet ekor panjang; ada kini dimandulkan, ditidur atau didorong kembali ke kawasan semula jadi
May 20, 2025 | 4:04 PM
Punggol Utara menjadi tumpuan monyet ekor panjang selama beberapa bulan menyebabkan sesetengah penduduk berasa gelisah dan mengemukakan aduan mengenainya.
Punggol Utara menjadi tumpuan monyet ekor panjang selama beberapa bulan menyebabkan sesetengah penduduk berasa gelisah dan mengemukakan aduan mengenainya. - Foto ST

Pihak berkuasa telah mengambil tindakan terhadap beberapa kes melibatkan monyet liar memasuki flat di Punggol.

Ia termasuk menakai iaitu menyingkirkan sebahagiannya, mensteril atau memandulkan yang lain, di samping menjalankan usaha mendorong haiwan tersebut agar kembali ke kawasan semula jadi.

Punggol Utara, sebuah kawasan perumahan yang agak baru dan juga lokasi kampus baru Institut Teknologi Singapura (SIT), telah menjadi tumpuan monyet ekor panjang (long-tailed macaque) sejak beberapa bulan lalu, lapor The Straits Times (ST).

Kawasan itu dahulunya hutan, dan monyet ialah haiwan pinggir hutan yang berpindah mencari makanan dan tempat tinggal.

Antara 1 September 2024 dengan 31 Mac 2025, Lembaga Taman Negara (NParks) telah menerima sekitar 200 laporan berkaitan monyet ekor panjang di Punggol.

Selain dilihat di kawasan itu, ada juga kes monyet masuk ke rumah dan menggeledah tong sampah, kata Pengarah Pengurusan Hidupan Liar NParks, Encik How Choon Beng.

Demi keselamatan awam, kebanyakan daripada 50 monyet yang ditangkap di Punggol pada 2024 telah disteril dan dilepaskan semula ke Taman Pulau Coney, kata Encik How pada 19 Mei.

Monyet yang agresif dan sering kembali ke kawasan perumahan telah ‘ditidurkan’ secara berperikemanusiaan.

Ini selaras dengan kenyataan Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, pada Mac bahawa kebanyakan monyet yang ditangkap di Punggol telah disteril, manakala yang agresif telah ‘dipindahkan’ demi keselamatan awam.

Kenyataan Encik Lee mendorong dua pertubuhan – Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres) dan pertubuhan pemuliharaan komuniti sejagat, Jane Goodall Institute (Singapore) – untuk menjalankan kempen kesedaran pada hujung Mac. 

Mereka menasihati penduduk Punggol supaya tidak membawa beg plastik dan memaklumkan langkah yang perlu diambil jika terserempak dengan sekumpulan monyet.

Encik How dari NParks berkata, program pensterilan monyet di Punggol dan Taman Pulau Coney bermula pada 2023 selepas tinjauan menunjukkan peningkatan jumlah monyet dan aduan awam.

NParks bekerjasama dengan majlis bandaran Punggol untuk mengedarkan poster, galak pembersihan lebih kerap dan guna tong sampah yang tidak boleh dibuka monyet.

Tong sampah terbuka dan pemberian makanan menarik lebih banyak monyet.

Pada 14 April, semasa lawatan ST ke tiga blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Punggol Northshore, beberapa penduduk berkata jiran mereka dilihat membuang makanan seperti buah dan roti ke luar tingkap untuk diberi kepada monyet.

Encik How menambah bahawa tindakan penguatkuasaan turut diambil terhadap mereka yang memberi makan hidupan liar secara haram.

Di bawah Akta Hidupan Liar, pesalah kali pertama boleh didenda sehingga $5,000, dan pesalah berulang sehingga $10,000.

Pihak berkuasa membuat rondaan untuk menggiring monyet ke hutan selain menanam lebih banyak pokok berbuah di Taman Pulau Coney.

Menurut Encik How, mereka turut bekerjasama dengan masyarakat untuk mengurangkan makanan daripada manusia dan meningkatkan kesedaran penduduk Punggol. 

Acara khidmat masyarakat di Pulau Coney oleh Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres) dan pertubuhan pemuliharaan komuniti sejagat, Jane Goodall Institute (Singapore) diadakan pada Mac.
Acara khidmat masyarakat di Pulau Coney oleh Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres) dan pertubuhan pemuliharaan komuniti sejagat, Jane Goodall Institute (Singapore) diadakan pada Mac. - Foto ZAOBAO

Ketua Acres, Encik Kalaivanan Balakrishnan, berkata isu monyet di Punggol “akan sentiasa berlaku”.

Punggol adalah kawasan pembangunan baru dalam dekad terakhir, terutama kawasan berhampiran laut itu, menyebabkan banyak haiwan kehilangan tempat tinggal, kata seorang pakar.

Beliau menambah, “Kadangkala monyet dianggap agresif, tetapi sebenarnya mereka hanya mencari makanan.”

Seekor monyet cuba merampas beg plastik daripada seorang penunggang yang sedang berbasikal di Pulau Coney pada 30 Mac.
Seekor monyet cuba merampas beg plastik daripada seorang penunggang yang sedang berbasikal di Pulau Coney pada 30 Mac. - Foto ZAOBAO

Primatologi Dr Andie Ang, yang mengetuai program pemuliharaan primat (mawas) di Mandai Nature dan presiden Jane Goodall Institute, mempersoalkan maksud “tingkah laku agresif” oleh monyet dan mengapa mereka memasuki rumah. 

Dr Ang pernah melihat kes penduduk membuang makanan dari tingkap untuk merpati, yang menyebabkan monyet turut memanjat masuk ke rumah-rumah berkenaan. 

Jika orang berhenti memberi makan monyet, sama ada sengaja atau tidak, “kita boleh mencegah kejadian monyet masuk rumah,” katanya.

Beliau turut menggalakkan penduduk memasang jaring atau menutup tingkap.

“Saya harap penduduk faham keadaan haiwan liar di Punggol yang kehilangan habitat dengan cepat,” tambahnya.

Kumpulan monyet sering memanjat blok rumah di Northshore Drive, dekat dengan pantai Punggol dan Pulau Coney.

Monyet ekor panjang memanjat Blok 433B, Northshore Drive, pada pertengahan April dengan ada yang berjaya memasuki flat melalui tingkap yang tidak dikunci dan mengeledah dapur.
Monyet ekor panjang memanjat Blok 433B, Northshore Drive, pada pertengahan April dengan ada yang berjaya memasuki flat melalui tingkap yang tidak dikunci dan mengeledah dapur. - Foto ST

Contohnya, pada 10 April, Encik Nor Azmi Asuat, 67 tahun, dan isteri yang tinggal di tingkat empat Blok 433B, Northshore Drive, terkejut dapur mereka bersepah selepas mereka keluar membeli barang.

Pada mulanya, beliau menyangka rumahnya dimasuki pencuri, tetapi menyedari monyet masuk melalui tingkap yang tidak dikunci.

Seorang lagi penduduk di tingkat enam blok yang sama juga pernah mengalami kejadian dua monyet masuk ke dapurnya dan merosakkan makanan.

Penduduk itu berkata, walaupun kecewa, beliau tidak menyalahkan monyet kerana habitat mereka telah hilang dan makanan semula jadi mereka berkurang.

“Kita jadi (pemberi) sumber makanan mereka,” katanya.

Ketua Acres, Encik Kalaivanan, berharap dengan sokongan organisasi seperti Acres dan Jane Goodall Institute, penduduk dapat mengubah sikap terhadap hidupan liar dan hidup aman bersama monyet.

Beliau berkata: “Usaha kesedaran lebih intensif diperlukan supaya penduduk tahu tingkah laku yang sesuai dengan monyet... Saya harap tiada lagi monyet yang perlu ditidurkan.”

“Kadangkala monyet dianggap agresif, tetapi sebenarnya mereka hanya mencari makanan... Usaha kesedaran lebih intensif diperlukan supaya penduduk tahu tingkah laku yang sesuai dengan monyet... Saya harap tiada lagi monyet yang perlu ditidurkan.”
Encik Kalaivanan Balakrishnan, Ketua Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg