Individu yang memahami agama Islam dengan baik mempunyai hala tuju hidup lebih bermakna, jelas dan terarah.
Demikian pendapat Ustazah Fatimah Mohd Ali, 50 tahun, seorang pensyarah sepenuh masa di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri, dan Ustazah Wan Nadia Mohamed Yusuf Zuhri, 40 tahun, pensyarah bersekutu yang juga pengarah di institut itu.
Mereka menjelaskan bagaimana memahami agama menjadi benteng kukuh dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Menurut Ustazah Fatimah, agama mendidik manusia agar berhati-hati dalam setiap tindakan dan tenang menghadapi apa jua bentuk cabaran dalam kehidupan.
Dalam Islam, cabaran hidup merupakan sebahagian daripada ujian yang membentuk peribadi manusia agar mereka memperbaiki diri dan membina daya tahan emosi tinggi dengan mendekatkan diri kepada Allah swt.
“Apabila seseorang benar-benar memahami agamanya, dia akan berpaut kukuh pada tauhid dan kesedaran bahawa Allah swt sentiasa berkuasa dan mengatur segala urusan,” kata Ustazah Wan Nadia.
Ustazah Fatimah menambah bahawa melalui kefahaman agama, seseorang tahu ke mana beliau harus kembali ketika gagal, bagaimana bersabar ketika diuji, dan mengapa perlu bersyukur ketika berjaya.
Justeru, agama bukan sekadar memberikan jawapan terhadap hukum, tetapi menjadi panduan menyeluruh dalam kehidupan.
“Dalam konteks Singapura yang kompetitif, agama membantu mengingatkan kita bahawa nilai diri seseorang tidak diukur melalui pencapaian atau kedudukan semata-mata, tetapi melalui integriti, usaha dan keikhlasan.
“Cara pandangan ini melindungi individu daripada rasa hilang arah atau tertekan apabila kehidupan tidak berjalan seperti yang diinginkan. Dalam apa jua keadaan, mereka sentiasa boleh kembali kepada Allah swt sebagai sumber ketenangan,” kata Ustazah Wan Nadia.
Katanya lagi, pengamalan agama bukan sekadar melakukan amal kebaikan, tetapi juga menahan diri daripada perbuatan jahat.
Sebagai contoh, perbuatan seperti disiplin dalam mendirikan solat membantu menguatkan keimanan kita kepada Allah swt, serta mendidik sifat belas kasihan dan rahmat terhadap diri sendiri dan orang lain.
Pemahaman ini membantu mengurangkan rasa inferior, atau rendah kedudukan, dan terlalu keras ke atas diri sendiri, iaitu antara cabaran emosi yang dihadapi masyarakat hari ini.
Oleh itu, adalah penting orang dewasa meningkatkan kefahaman ilmu agama kerana mereka boleh menjadi individu lebih penyabar, prihatin dan bertanggungjawab terhadap pasangan serta anak, seterusnya mewujudkan suasana rumah tangga yang penuh dengan kasih sayang dan ketenangan.
Apabila nilai-nilai ini dibawa ke luar rumah, ia memberi kesan positif kepada masyarakat melalui hubungan lebih baik, saling menghormati dan bertimbang rasa.
Ustazah Wan Nadia mengajar belia supaya selalu mengaitkan nilai agama dengan kisah dan peristiwa kehidupan sebenar, antaranya penggunaan media sosial, hubungan antara lelaki dan perempuan dan kesihatan mental.
“Saya biasanya tidak terus memberikan penyelesaian, sebaliknya membuka ruang perbincangan selamat agar pelajar dapat berkongsi pandangan mereka tentang langkah yang wajar diambil,” kata beliau.
Beliau menegaskan pentingnya belajar agama daripada guru bertauliah dalam persekitaran sekarang, di mana kecerdasan buatan (AI) menawarkan pelbagai maklumat, kerana guru bertauliah boleh membimbing pelajar membezakan perkara betul daripada yang salah.
Tentang Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri
Ditubuhkan pada 2000, Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri adalah sebuah pusat pendidikan Islam (IECP) yang diiktiraf oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). Ia dinamakan sempena seorang ulama terkemuka, Kiai Haji Ahmad Zuhri Mutammim. Al-Zuhri komited untuk menyediakan pendidikan Islam relevan, khusus untuk pelajar dewasa yang ingin memahami, menghayati, dan mengamalkan Islam sambil memenuhi tanggungjawab harian.
Pendaftaran 2026 bagi Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri sudah dibuka. Sila lungsuri lelaman www.zuhri.com.sg untuk maklumat lanjut dan mendaftar. Pendaftaran juga sudah dibuka bagi Andalus di www.andalus.com.sg dan Cordova di www.cordova.com.sg.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg