Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, menekankan pentingnya menitikberatkan serta memupuk rasa cinta pada Al-Quran dalam diri setiap individu.
Beliau berkata Al-Quran bukan mengenai kefasihan membacanya sahaja, malah memahami dan menghayati isi serta pengajaran murni yang terkandung di dalamnya.
Berucap di Majlis Tilawah dan Tahfiz Al-Quran (MTTQ) peringkat kebangsaan di auditorium Masjid Sultan pada Ahad, beliau berkata:
“Sebagai seorang Muslim, memupuk rasa cinta pada Al-Quran seharusnya merupakan sebahagian daripada matlamat kehidupan kita. Ia perlukan usaha dan istiqamah, agar rasa cinta pada kitab suci ini terus mekar dan subur hingga ke akhir hayat.
“Sebagaimana yang sering kita dengar daripada ulama kita, hubungan individu Mukmin dengan kitab suci Al-Quran perlulah lebih daripada bacaan semata-mata. Agama kita menekankan agar setiap individu bukan fasih membaca Al-Quran sahaja.
“Malah, ia mendorong agar kita memahami kandungan Al-Quran, supaya kita dapat mengamalkan nilai-nilai dan pengajaran murninya dalam kehidupan seharian kita.”
Atas dasar itu, beliau berkata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) memperkenalkan Festival QuranSG 2023 di lima masjid – Ar-Raudhah, Kampung Siglap, Mujahidin, Assyafaah, dan An-Nur – bagi menyemarakkan minat pada Al-Quran.
Festival QuranSG pada Ahad diadakan di pekarangan Masjid Sultan dan adalah anjuran bersama Gerakan SalamSG. Ia juga serentak dengan peringkat akhir MTTQ 2023.
Dalam ucapan penutup, Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir, berkata Al-Quran adalah kitab untuk “mengubah umat manusia di peringkat individu dan masyarakat ke arah kebaikan”.
“Apa yang kita hafal dari Al-Quran... apa yang kita dengar daripada tilawah... adalah secebis daripada keindahan Al-Quran. Mesej-mesej Al-Quran adalah untuk membawa manusia ke peringkat yang terbaik,” ujar beliau.
Oleh itu, beliau menyeru agar memanfaatkan peluang bagi “menghidupkan isi kandungan Al-Quran.”
MTTQ kali ini diadakan setelah tiga tahun ditunda dek pandemik Covid-19. Ia menampilkan kategori kanak-kanak, belia dan dewasa dalam acara tilawah dan tahfiz, iaitu penghafalan Al-Quran.
Seramai 84 peserta tilawah dan 125 peserta tahfiz mengambil bahagian dalam majlis yang berlangsung sepanjang Jun dan Julai.
Johan qariah kategori dewasa ialah Ustazah A’tii Qah Suhaimi, sementara johan qari dewasa ialah Ustaz Muhammad Syarafuddeen Mazlan Abdullah.
*Artikel ini telah disemak bagi menambah ketepatannya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg