Rangkaian pasar raya FairPrice akan memberikan lebih 75,000 makanan ringan dan minuman percuma kepada pelanggan Islam di 59 cawangannya Ramadan 2025.
Pemberian makanan dan minuman yang akan berlangsung dari 2 hingga 30 Mac itu adalah sebahagian daripada usaha Kumpulan FairPrice untuk menyokong masyarakat Islam semasa tempoh perayaan, katanya dalam satu kenyataan.
Menurut The Straits Times (ST), setiap pelanggan Muslim akan menerima minuman, seperti susu, minuman isotonik atau air dan snek kurma atau biskut sementara stok masih ada.
Mereka boleh mendapatkan makanan ringan dan minuman itu sama ada 30 minit sebelum atau selepas waktu berbuka puasa.
Ketua pegawai eksekutif Kumpulan FairPrice, Encik Vipul Chawla, berkata: “Ramadan adalah masa untuk beribadah dan bermuhasabah, dan kami ingin mengambil peluang untuk menyokong masyarakat Islam kami dalam tempoh penting ini.
“Melalui usaha ini, kami berharap dapat membawa rakyat Singapura bersama-sama meningkatkan hubungan dan melaksanakan misi kami untuk menjadikan setiap hari lebih baik sedikit untuk mereka yang kami berkhidmat.”
Sukarelawan dari ibu pejabat kumpulan itu akan mengambil bahagian dalam pengagihan juadah berbuka itu buat kali pertama pada 2025.
Pada 3 dan 4 Mac, mereka juga akan memberikan 1,500 pek penjagaan Ramadan kepada penerima bantuan Yayasan Mendaki dan M³.
Terdapat juga dua acara pesta bawah blok sempena Hari Raya di Tampines dan Woodlands pada April.
Diskaun istimewa untuk keperluan perayaan akan berlangsung sehingga 9 April.
Pelanggan boleh melungsuri laman web FairPrice untuk butiran lanjut.
Pada Julai 2024, FairPrice meluaskan produk halal yang dijualnya dan sumbangan derma $20,000 kepada Yayasan Mendaki, kededuanya bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam setempat sempena Ramadan.
Langkah tersebut menyaksikan penambahan produk halal kepada sebanyak 5,700 pada 2024 berbanding 5,000 produk halal pada 2023.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg