Topik diikuti
Pergi ke BHkuFairPrice baharu tampil konsep pasar basah tradisional
Dibuka 24 jam di Elias Mall, cawangan tawar makanan segar serta kemudahan moden hasil maklum balas penduduk Pasir Ris
FairPrice baharu tampil konsep pasar basah tradisional
Penduduk Pasir Ris kini boleh mendapatkan ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan segar pada bila-bila masa sahaja di cawangan pasar raya FairPrice 24 jam terbaharu di pusat beli belah Elias Mall.
Ia direka khusus untuk menawarkan pengalaman membeli-belah seperti di pasar basah tradisional.
Cawangan yang terletak di besmen satu Elias Mall itu dibuka secara rasmi pada 20 September oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi.
Pasar raya itu turut menyediakan beberapa perkhidmatan yang lazim ditawarkan di pasar basah, kata FairPrice melalui kenyataannya.
Ini termasuk perkhidmatan membersihkan sisik dan memotong ikan mengikut permintaan pelanggan.
Khidmat pembungkusan vakum bagi ikan turut disediakan di cawangan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasar raya, Cheers dan Unity, FairPrice Group, Encik David Goh, berkata konsep cawangan itu dibentuk berdasarkan maklum balas penduduk.
“Kami mereka FairPrice Elias Mall berdasarkan perkara yang dianggap penting oleh penduduk.
“Mereka menghargai kesegaran dan sentuhan peribadi yang ditawarkan pasar basah tradisional, tetapi pada masa sama mahukan lebih banyak kemudahan dan akses yang lebih baik.
“Dengan menggabungkan kedua-dua aspek ini, kami berharap dapat mewujudkan pasar raya kejiranan yang dekat di hati penduduk, memenuhi keperluan mereka dengan lebih baik dan kekal relevan dengan cara mereka membeli-belah pada masa kini,” katanya.
Lebih separuh ruang pasar raya itu digunakan untuk menempatkan produk segar, dingin dan beku.
Malah, antara tarikan utamanya ialah kaunter makanan laut sepanjang sekitar 7.3 meter, menjadikannya kaunter terbesar dalam rangkaian FairPrice.
Selain itu, produk halal di cawangan tersebut telah ditandakan dengan label hijau di seluruh pasar raya bagi memudahkan pelanggan mengenal pasti dan mendapatkannya.
Ahli farmasi terlatih turut tersedia untuk memberi nasihat kesihatan kepada pelanggan yang menjalani pemeriksaan komposisi badan secara percuma di farmasi Unity.
