Pelanggan FairPrice boleh mendapatkan baucar pulangan bernilai $4 bagi setiap perbelanjaan $50 dari 17 hingga 27 September.

Bagi setiap perbelanjaan $50 dalam satu transaksi di cawangan FairPrice, FairPrice Finest, FairPrice Xtra dan Unity sepanjang tempoh ini, pelanggan akan menerima Baucar Pulangan FairPrice bernilai $4, kata Kumpulan FairPrice (FPG) dalam satu kenyataan pada 17 September.

Setiap transaksi hanya layak menerima maksimum empat baucar pulangan.

Baucar pulangan itu boleh digunakan di semua pasar raya FairPrice tanpa had perbelanjaan minimum, bermula sehari selepas ia dikeluarkan sehingga 14 Oktober, kata kenyataan itu.

Ini menandakan pusingan kelima Baucar Pulangan FairPrice pada 2026, dan merupakan kesinambungan usaha kumpulan itu untuk merintis inisiatif yang membantu pelanggan menjimatkan perbelanjaan bagi keperluan harian mereka, tambahnya.

Pada 2026, FairPrice Group telah melaksanakan pelbagai inisiatif sebegitu, termasuk diskaun dipertingkatkan untuk pemegang kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) biru dan jingga.

Di bawah inisiatif itu, dari 3 September sehingga 1 Januari 2027, warga Singapura berpendapatan rendah boleh menikmati diskaun 6 peratus untuk pembelian barangan runcit, peningkatan daripada 3 peratus sebelum ini.

Diskaun itu — yang boleh digunakan bersama promosi kedai sedia ada dan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) — diberikan kepada pemegang kad Chas biru pada setiap Khamis, dan pemegang kad Chas jingga pada setiap Jumaat. 

Diskaun itu layak untuk pembelian sehingga $200 sehari bagi setiap pelanggan, di semua kedai FairPrice dan farmasi Unity, serta di FairPrice Online.

Inisiatif lain yang telah dilaksanakan FPG termasuk pembekuan harga bagi lebih 500 barangan keperluan harian, Baucar Pulangan khas bernilai $6 sempena ulang tahun ke-61 Singapura (SG61), serta kempen ‘Best Sellers for Less’ selama 12 minggu.