Topik diikuti
Pergi ke BHkuFairPrice bakal lancar lebih 1,300 troli pintar jelang akhir 2026
FairPrice bakal lancar lebih 1,300 troli pintar jelang akhir 2026
Pelanggan boleh bayar terus di mana-mana sahaja di dalam pasar raya gunakan Smart Cart
FairPrice bakal lancar lebih 1,300 troli pintar jelang akhir 2026
Menyusuli kejayaan percubaan di Punggol, troli pintar yang membolehkan pelanggan FairPrice mengelak beratur dalam barisan panjang serta melakukan pembayaran di mana-mana sahaja di dalam pasar raya kini mula diperluaskan.
Lebih 1,300 unit troli ini akan ditempatkan di 48 cawangan FairPrice Finest dan Xtra menjelang akhir 2026, termasuk di VivoCity, Jewel Changi Airport, Nex, Junction 8, dan Bedok Mall.
Inisiatif ini merangkumi kira-kira satu perempat daripada keseluruhan 169 pasar raya FairPrice di Singapura.
Cawangan terpilih ini umumnya bersaiz lebih besar, di mana para pelanggan lazimnya memerlukan troli untuk bergerak dengan barangan di antara lorong jualan.
Inisiatif Smart Cart ini dilancarkan bagi mengatasi beberapa kesulitan utama dalam pengalaman membeli-belah pelanggan, kata Ketua Pegawai Digital dan Teknologi Kumpulan FairPrice, Encik Dennis Seah.
Antara kesulitan tersebut termasuk keperluan beratur di kaunter pembayaran fizikal serta kesukaran mencari produk dan barangan promosi.
Pengguna projek rintis di Punggol telah mengesahkan keberkesanan inisiatif ini, dengan menyatakan panduan penunjuk arah serta cadangan produk yang dipaparkan pada skrin sentuh terbina dalam troli tersebut sangat berguna.
Saranan produk dan makluman promosi ini diperibadikan buat setiap pelanggan berdasarkan rekod pembelian terdahulu mereka.
Untuk menggunakan troli tersebut, pelanggan perlu mengimbas kod QR ‘Pay/Earn’ melalui aplikasi FairPrice.
Sejak percubaan di pusat membeli-belah Punggol Coast Mall pada Ogos 2025, para pelanggan melaporkan masa pembayaran lebih pantas, dengan purata hanya 36 saat, kata FairPrice Group dalam satu kenyataan pada 23 April.
Ini kerana pelanggan tidak lagi perlu beratur di kaunter fizikal, sebaliknya boleh membayar terus di mana-mana sahaja di dalam pasar raya menggunakan Smart Cart.
Pelanggan hanya perlu menggunakan pengimbas kod bar terbina pada pemegang troli untuk mengimbas barangan sebelum memasukkannya ke dalam troli.
Ia turut dilengkapi sensor berat bagi barangan yang perlu ditimbang.
Pembayaran dilakukan dengan menekan skrin sentuh, dan pembelian akan terus dipaparkan di dalam aplikasi FairPrice.
Selain itu, sensor atau penderia pada troli pintar ini boleh mengesan barangan promosi semasa pelanggan berjalan di lorong jualan, dan kemudian akan memaparkan promosi tersebut pada skrin.
Panduan penunjuk arah pada skrin juga membantu pelanggan mencari barangan yang diperlukan dengan lebih mudah.
Smart Cart merupakan salah satu daripada lebih 60 penyelesaian digital baharu yang sedang diuji FairPrice Group dalam tempoh tiga tahun sejak 2025.
Ia adalah sebahagian daripada komitmen jutaan dolar rangkaian pasar raya berkenaan untuk memberi nafas baharu kepada pengalaman membeli-belah pelanggan.
Cawangannya di Daerah Digital Punggol yang dibuka pada Ogos 2025 bertindak sebagai pusat ujian bagi pelbagai projek digital lain, yang bertujuan meningkatkan kecekapan operasi serta daya penghasilan kakitangan.
