Topik diikuti
Pergi ke BHkuFairPrice tawar baucar $5 bagi setiap $50 dibelanja hingga 9 Nov
FairPrice tawar baucar $5 bagi setiap $50 dibelanja hingga 9 Nov
Pelanggan FairPrice boleh mendapat baucar pulangan $5 bagi setiap perbelanjaan $50 dari 29 Oktober hingga 9 November.
Tawaran ini sah bagi setiap perbelanjaan $50 dalam satu resit di cawangan FairPrice, FairPrice Finest, FairPrice Xtra dan kedai Unity sepanjang tempoh berkenaan, menurut FairPrice Group pada 29 Oktober.
Pelanggan boleh menerima maksimum empat baucar pulangan bagi setiap transaksi.
Baucar pulangan tersebut boleh ditebus di semua pasar raya FairPrice dan farmasi Unity tanpa sebarang keperluan perbelanjaan minimum, sehari selepas ia dikeluarkan sehingga 30 November, menurut kenyataan itu.
Ini merupakan pusingan keenam pengagihan baucar pulangan FairPrice bagi 2026.
Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kumpulan berkenaan dalam membantu isi rumah menguruskan perbelanjaan barangan dapur.
Ini di samping menawarkan penjimatan tambahan ketika pelanggan sedang mereka membuat persiapan bagi sambutan perayaan akhir tahun seperti Deepavali dan Krismas, kata FairPrice Group.
Sepanjang 2026, FairPrice Group telah melaksanakan pelbagai inisiatif seumpamanya, termasuk menambah kadar diskaun bagi pemegang kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) biru dan jingga.
Di bawah inisiatif berkenaan, dari 3 September hingga 1 Januari 2027, warga Singapura berpendapatan rendah boleh menikmati potongan harga 6 peratus bagi pembelian barangan runcit mereka, meningkat berbanding 3 peratus sebelum ini.
Diskaun itu khusus untuk pemegang kad Chas biru pada setiap hari Khamis dan pemegang kad Chas jingga pada setiap hari Jumaat.
Ia boleh digunakan bersama promosi sedia ada serta pembayaran menggunakan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).
Potongan harga berkenaan tertakluk kepada pembelian sehingga $200 sehari bagi setiap pelanggan di semua cawangan FairPrice dan farmasi Unity, serta platform FairPrice Online.
Selain itu, produk ayam dan telur terpilih turut ditawarkan pada harga lebih rendah di lebih 100 pasar raya FairPrice sehingga 31 Disember.
Antara inisiatif lain FairPrice Group, termasuk membekukan harga lebih 500 barangan keperluan harian, mengeluarkan baucar pulangan istimewa bernilai $6 sempena sambutan ulang tahun ke-61 Singapura (SG61), serta melancarkan kempen diskaun 12 minggu ‘Best Sellers for Less’.