Topik diikuti
Pergi ke BHkuHarga ayam, telur lebih murah di pasar raya FairPrice sehingga 31 Dis
Harga ayam, telur lebih murah di pasar raya FairPrice sehingga 31 Dis
Sehingga 31 Disember, pengguna boleh membeli produk ayam dan telur terpilih pada harga yang lebih rendah di lebih 100 pasar raya FairPrice.
Dalam kenyataan akhbar pada 1 Oktober, Kumpulan FairPrice berkata ia juga melanjutkan diskaun ke atas buah-buahan dan sayur-sayuran terpilih sehingga akhir 2026, memberikan pelanggan lebih banyak penjimatan bagi keperluan dapur mereka.
Sepanjang tempoh ini, pelanggan boleh membeli sepapan telur segar Dasoon (30 biji) pada harga $4.95 dan 1 kilogram ayam beku Seara – Griller pada harga $2.50, kata kumpulan tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Setiap pelanggan dihadkan kepada dua papan telur dan dua pek ayam beku tersebut.
Harga promosi ini hanya tersedia di pasar raya FairPrice, tidak termasuk FairPrice Finest, FairPrice Xtra dan FairPrice Online.
Kedua-dua barangan tersebut ditawarkan pada harga terendahnya sejak 2021, kata Kumpulan FairPrice, sambil menambah bahawa ia meruapakan sebahagian daripada inisiatif akhir tahun untuk memberikan penjimatan lebih $2.5 juta kepada pelanggan.
“Ayam dan telur adalah makanan asas harian bagi kebanyakan isi rumah di Singapura, dan kami ingin memberi kepastian yang lebih besar kepada pelanggan bahawa barangan keperluan ini akan kekal dalam jangkauan,” kata Encik Vipul Chawla, ketua eksekutif Kumpulan FairPrice.
“Kami telah bekerjasama dengan pembekal kami untuk meningkatkan bekalan ayam dan telur, membolehkan kami menurunkan harga dan komited untuk mengekalkannya sehingga penghujung tahun,” jelasnya.
