Faishal beri penghormatan terakhir buat arkitek Liu Thai Ker
Faishal beri penghormatan terakhir buat arkitek Liu Thai Ker
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, telah memberikan penghormatan terakhirnya buat arkitek yang banyak berjasa mencorak pembangunan landskap moden Singapura, mendiang Dr Liu Thai Ker, pada 20 Januari.
Dr Faishal berkongsi pengamatannya dalam satu catatan Facebook pada 20 Januari, yang mengenang sumbangan mendiang Liu, yang meninggal dunia pada 18 Januari lalu.
Mendiang yang berusia 87 tahun, disifatkan Dr Faishal sebagai antara pejuang awal yang mengenal pasti kepentingan memulihara kawasan bersejarah, dengan kepimpinannya dalam membangun Pelan Induk Pemuliharaan pertama Singapura membantu melindungi kawasan seperti Kampong Gelam, Chinatown dan Little India.
Ini memastikan kejiranan, masjid dan ruang perkongsian bersama akan terus memperkukuh identiti kita yang pelbagai di tengah-tengah perubahan pesat.
“Buat masyarakat Melayu/Islam, Kampong Gelam mempunyai erti yang lebih besar daripada sekadar sebuah daerah warisan.
“Ia menggambarkan sejarah, tradisi dan rasa kekitaan kita di Singapura.
“Pendirian teguh Dr Liu betapa kemajuan dan pemeliharaan harus berjalan seiring telah membantu memastikan warisan ini tidak hilang.
“Singapura telah kehilangan seorang perancang berwawasan yang hasil kerjanya terus membentuk cara masyarakat kita hidup, mengenang, dan melangkah maju bersama.
“Takziah yang mendalam saya ucapkan kepada keluarga dan orang tersayang mendiang,” jelas Dr Faishal.
Dr Liu juga disifatkan sebagai ‘Bapa Perancangan Bandar’ di Singapura.
Beliau yang menyertai Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sebagai Ketua Reka Bentuk dan Penyelidikan pada 1969 kemudian menjadi Ketua Eksekutif dan Perancang di Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 1989.
Sepanjang tugasnya itu, beliau menyelia pembangunan kira-kira separuh daripada lebih sejuta flat perumahan awam dan membantu merancang 20 daripada 24 bandar HDB.
Mendiang meninggalkan perkhidmatan awam pada 1992 selepas 24 tahun tetapi meneruskan kerjayanya dalam melakukan perancangan bandar untuk lebih 50 bandar di samping mereka bentuk beberapa projek terkenal termasuk Pusat Kapal Persiaran Marina Bay.

