Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, baru-baru ini menerima undangan untuk menyampaikan ceramah ringkas di Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah Jakarta (UIN Jakarta) sempena lawatan rasminya ke Jakarta, Indonesia, dari 29 Julai hingga 1 Ogos.
Dalam satu hantaran Facebook pada 15 Ogos, Dr Faishal berkongsi bahawa beliau menyampaikan ceramah bertajuk ‘Membina Daya Tahan dan Keharmonian: Visi Singapura untuk Generasi Seterusnya’ yang membincangkan bagaimana Singapura berkembang daripada sebuah negara kecil kepada sebuah negara kota yang berkembang pesat.
Ini dilakukan dengan “menerapkan prinsip utama iaitu sifat berbilang kaum dan pemerkasaan melalui pendidikan, perancangan jangka panjang dan pembangunan ekonomi”, tambahnya.
Beliau turut mengadakan lawatan ke Universiti Islam Antarabangsa Indonesia (UIII) dan Pondok Pesantren Asshiddiqiyah, di mana pendidikan sepanjang hayat dan keharmonian silang agama menjadi antara topik perbualan, tambahnya.
Dr Faishal juga bertemu dengan Pengerusi Majlis Eksekutif Nahdlatul Ulama (NU), Kyai Haji Yahya Cholil Staquf, Pengerusi Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama Kepimpinan Pusat Muhammadiyah, Profesor Dr. H. Syafiq A. Mughni, serta wakil NU dan Muhammadiyah, di samping melawat Pondok Pesantren Asshiddiqiyah.
Di samping itu, beliau mengadakan pertemuan dengan Ketua Lembaga Narkotik Nasional Indonesia, Pesuruhjaya Polis Jeneral Marthinus Hukom, dalam satu jamuan makan malam bersama delegasi yang hadir.
Pertemuan itu memberi penekanan kepada kerjasama kukuh antara Singapura dengan Indonesia dalam memerangi pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
Dalam satu respons kepada Berita Harian (BH), Dr Faishal berkata: “Lawatan rasmi saya ke Indonesia bertujuan mencapai dua objektif, iaitu mengekalkan hubungan dengan rakan-rakan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan meneruskan kerjasama rapat dalam mencegah serta memerangi jenayah rentas negara.
“Bagi objektif kedua, saya bertemu dengan pemimpin agama daripada NU dan Muhammadiyah, dan melawat Pondok Pesantren Asshiddiqiyah.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg