Singapura harus kekal berwaspada terhadap ancaman radikalisasi sendiri yang semakin berkembang dan mengelak daripada membawa masuk politik asing serta membiarkan konflik global menjejas perpaduan sosial dan keharmonian negara, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Dr Faishal bersama Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, dan Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, merupakan ahli panel dalam satu sesi dialog anjuran Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 7 Ogos yang membincangkan isu-isu yang menjejas landskap keselamatan Singapura.
Ini termasuk ancaman radikalisasi sendiri khususnya dalam kalangan belia, maklumat salah dalam talian serta kesan konflik global yang sedang berlaku, termasuk konflik Israel-Hamas.
Penolong Profesor Dr Walid Jumblatt Abdullah dari Sekolah Sains Kemasyarakatan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) merupakan moderator sesi dialog itu yang dihadiri sekitar 130 pemimpin masyarakat, rakan dan pemimpin belia Melayu/Islam.
Menulis di Facebook dalam satu kiriman pada 12 Ogos, Dr Faishal berkata sesi dialog itu memberi peluang berharga untuk mendapatkan pandangan masyarakat mengenai isu-isu mendesak tersebut.
“Saya gembira menerima banyak komen positif dan saranan membina daripada peserta tentang cara kita boleh bergerak ke hadapan bersama dalam menangani pengganasan dan ekstremisme.
“Saya juga mengambil peluang menjelaskan bahawa Singapura mengekalkan pendirian tiada toleransi terhadap promosi atau sokongan pengganasan dan ekstremisme ganas dan bahawa keselamatan negara ini serta rakyatnya akan kekal sebagai keutamaan teratas kami,” kata beliau.
Laporan tahunan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) mengenai pengganasan yang dikeluarkan pada 25 Julai lalu menyatakan radikalisasi diri adalah pemacu ancaman utama di Singapura, dengan 52 individu yang menjadi radikal sendiri – terdiri daripada 40 warga Singapura dan 12 warga asing – telah dikenakan perintah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak 2015.
Radikalisasi belia juga satu kebimbangan khusus dengan 13 daripada 52 individu yang dipengaruhi ideologi radikal berumur 20 tahun atau lebih muda.
Dr Faishal menambah bahawa sebagai sebuah negara dan masyarakat, Singapura mesti terus melindungi ruang yang dikongsi bersama, memperkukuh perpaduan sosial serta menggalak keharmonian antara agama.
“Saya yakin bahawa dengan kita bersatu, kita boleh mengatasi cabaran keselamatan ini bersama sebagai sebuah negara.
“Marilah kita terus melibatkan diri dalam dialog terbuka sedemikian dan memanfaatkan kekuatan kolektif dan daya tahan kita untuk menempa masa depan yang lebih cerah untuk Singapura,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg