Biro Ehwal Melayu (MAB) Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan menumpukan usaha mengukuh rangkaian dan melibatkan lebih ramai belia untuk membentuk hala tuju masa depan biro tersebut dan negara, kata pengerusi barunya, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Dr Faishal, yang juga Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), memberitahu surat berita parti itu, Petir, bahawa MAB telah menyediakan wadah untuk aktivis Melayu/Islam menyuarakan kebimbangan mereka.
Tambahnya, biro itu juga telah membolehkan aktivis berhubung dengan kepimpinan parti dan aktivis daripada pelbagai kaum untuk berinteraksi antara satu sama lain.
“Saya mempunyai kepercayaan kuat bahawa PAP kekal sebagai parti politik terbaik untuk masyarakat Melayu Islam.
“Sedang kita maju ke hadapan, saya mahu melihat bagaimana kita dapat terus membina Singapura dengan semua rakyat Singapura, termasuk masyarakat Islam.
“Kita perlu memastikan bahawa kita dapat bersama dalam perjalanan ini, membawa orang ramai menikmati perjalanan bersama ini,” kata Dr Faishal.
Dr Faishal dilantik sebagai Pengerusi baru MAB pada 29 Mei, mengambil alih daripada Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang juga mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Semasa temu bual itu, Dr Faishal turut memuji usaha Encik Masagos serta mantan menteri, Dr Yaacob Ibrahim, yang juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi MAB sebelum ini, atas usaha mereka membina rangkaian dan dialog berterusan dengan aktivis Melayu/Islam.
Sebagai Pengerusi MAB baru, Dr Faishal berkata beliau berhasrat untuk membina usaha pendahulunya, bukan sahaja untuk membina rangkaian, malah juga memastikan penglibatan aktif serta meningkatkan interaksi rangkaian itu di dalam masyarakat.
“Kami membangunkan rangkaian menggunakan teknologi seperti WhatsApp dan Zoom, terutamanya semasa Covid-19, menyediakan wadah untuk aktivis mengambil bahagian.
“Kami juga mewujudkan rangkaian nasional seperti platform daerah di mana penasihat daerah, sebahagian daripadanya adalah pengerusi cawangan, berhubung dengan aktivis, melibatkan mereka dan membuat mereka berasa sebahagian daripada perjalanan ini,” kata Dr Faishal.
Selain memperkukuh rangkaian, Dr Faishal berkata MAB juga akan memberi tumpuan kepada memperkasakan lebih ramai belia untuk membentuk MAB dan masa depan PAP.
Inisiatif MAB Muda, yang dilancarkan pada 2022, membolehkan anggota masyarakat yang lebih muda untuk melibatkan diri dan bekerjasama dengan PAP serta penggubal dasar.
Ia kini dipengerusikan bersama oleh Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Ahmad Samdin, dan AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
“Saya mahu MAB Muda lebih diperkasa, melaksanakan apa sahaja idea yang mereka ada dan melibatkan lebih ramai anak muda Singapura dalam perjalanan ini.
“(Matlamat kami ialah) bukan sahaja meneruskan kisah PAP tetapi juga memperbaiki kehidupan ramai lagi rakyat Singapura, baik sekarang mahupun pada tahun-tahun akan datang,” kata Dr Faishal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg