Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Bantuan S’pura kepada warga Gaza aspek penting pembangunan negara

Pakej bantuan kesembilan adalah usaha seiringan dengan negara lain bagi ringan beban penduduk Palestin
Aug 12, 2025 | 12:15 PM
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kiri) dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad (kiri) bercakap dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), Encik Adnan Abdul Hamid semasa di Pangkalan Udara Paya Lebar pada 12 Ogos.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kiri) dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad (kiri) bercakap dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), Encik Adnan Abdul Hamid semasa di Pangkalan Udara Paya Lebar pada 12 Ogos. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Singapura berdiri teguh dengan rakyat Gaza, dengan pakej bantuan kemanusiaan kesembilan yang dihantar pada 12 Ogos ke Jordan ini adalah antara komitmen berterusan negara untuk membantu warga Gaza yang amat memerlukan.

Malah, memberi sokongan kepada negara lain yang memerlukan bantuan adalah antara aspek penting dalam pembangunan negara dan perlu diteruskan sedang Singapura menikmati kehidupan yang harmoni, aman dan maju sejak 60 tahun lalu.

Demikian dikongsi Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, semasa bercakap dengan media ketika menyaksikan operasi menghantar pakej bantuan kemanusiaan Singapura ke Jordan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Kementerian Pertahanan (Mindef), Kementerian Kesihatan (MOH) dan pihak-pihak berkepentingan lain kerana misi ini adalah satu misi yang berbahaya.

“Kita akan menghantar barangan dalam kawasan yang berbahaya, justeru, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pegawai-pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan juga kakitangan lain,” kata Dr Faishal.

Beliau berkata Singapura akan meneruskan usaha bekerjasama dengan negara-negara lain untuk meneroka cara membantu warga Palestin yang terjejas teruk di Gaza.

Ia membawa pakej bantuan berisi bekalan perubatan daripada MOH dan bekalan makanan daripada badan seperti Humanity Matters, Caritas Humanitarian Aid and Relief Initiative Singapore (Charis), Mercy Relief, dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad dan Menteri Negara (Pertahanan), Encik Desmond Choo, serta pegawai kanan Mindef dan wakil badan bukan pemerintah hadir bagi menyaksikan operasi tersebut.

Antara yang turut hadir pada acara itu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), Encik Adnan Abdul Hamid, penasihat khas badan amal tempatan, Humanity Matters, Encik Hassan Ahmad serta wakil bukan bermastautin Singapura ke Palestin, Encik Hawazi Daipi.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Singapura kerana memberikan sokongan yang padu dalam usaha ini.

“Ini menunjukkan warga kita mempunyai keistimewaan yang sangat mendalam ingin menolong penduduk di sana dan juga mahu memberikan keamanan, keselamatan dan juga kehidupan yang bermaruah di sana,” kata Dr Faishal lagi.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 12 Ogos, RSAF telah mengerahkan pesawat C-130 atas undangan Kerajaan Jordan.

Di Jordan, pesawat C-130 itu akan menyertai pesawat tentera negara lain untuk menjalankan operasi menggugurkan pakej bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Ini adalah pakej bantuan kemanusiaan kesembilan yang dihantar Singapura untuk penduduk Palestin sejak konflik bermula.

Secara keseluruhan, pakej bantuan yang telah disampaikan Singapura dan warga Singapura bernilai lebih $22 juta buat masa ini.

“Jumlah ini bukan jumlah yang kecil, jumlah yang banyak dan ini datang daripada warga Singapura. Walaupun situasi di sana amat menyedihkan hati, saya bangga melihat usaha masyarakat Singapura termasuk masyarakat Melayu/Islam.

“Misi ini menunjukkan bahawa apabila kita bersatu, kita boleh membangun masyarakat yang bukan sahaja padu, tapi dapat membantu antara satu sama lain juga,” kata Dr Faishal.

Beliau turut menggesa masyarakat Melayu/Islam Singapura untuk terus berdoa agar kesengsaraan warga Palestin di Gaza dapat diringankan dan dipermudahkan.

Dr Faishal berkata: “Sama-sama kita mendoakan supaya mereka diberikan keamanan dan juga diberikan ruang untuk membangun semula Gaza”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg