Topik diikuti
Pergi ke BHkuFaishal: Kerjasama erat pastikan pembelajaran disepadukan dalam setiap peringkat kehidupan
Faishal: Kerjasama erat pastikan pembelajaran disepadukan dalam setiap peringkat kehidupan
Faishal: Kerjasama erat pastikan pembelajaran disepadukan dalam setiap peringkat kehidupan
Kerjasama antara rakan masyarakat adalah penting bagi memastikan pembelajaran yang mudah diakses dan praktikal serta disepadukan dalam setiap peringkat kehidupan seseorang.
Berkata demikian semasa berucap di majlis pelancaran Raikan Ilmu@Heartlands 2026 di Our Tampines Hub (OTH) pada 13 Jun, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata kerjasama juga membolehkan masyarakat untuk membina asas kukuh dan menyatukan kekuatan yang saling melengkapi daripada seluruh masyarakat, demi menyokong keluarga dengan lebih baik.
Acara Raikan Ilmu anjuran Yayasan Mendaki contohnya menggembleng lebih 90 rakan masyarakat untuk menawarkan lebih 100 kegiatan, di bawah model kerjasama M Kuasa Tiga + (M³+) yang diperbaharui.
“Melalui rangkaian M³@Towns dan M³+, kita sedang memperkukuh ekosistem yang lebih luas berpaksikan masyarakat,” kata Dr Faishal.
Acara itu turut dihadiri Pengerusi Mendaki, yang juga Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber.
Mereka turut disertai Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi; dan Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi, Encik Sharael Taha.
Acara Raikan Ilmu di OTH berlangsung dari 13 hingga 14 Jun.
Salah satu rakan masyarakat yang menyertai usaha itu ialah Berita Harian (BH), di mana pengunjung dapat menyelami potensi kecerdasan buatan (AI) dalam menyokong pembelajaran menerusi sesi vodcast yang dirakam secara langsung di reruai BH.
Sesi vodcast pada 13 Jun dikendalikan koresponden yang juga pengendali ruangan Dunia Anak (DNA) BH, Cik Nur Dhuha Esoof, bersama tetamu jemputan, Cik Maryam Dzinnira Mohd Huzaini, 37 tahun, yang berkongsi pengalaman beliau membesarkan empat anaknya dengan bantuan AI.
Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), menambah bahawa usaha mengembangkan acara Raikan Ilmu ke 11 lokasi kejiranan di serata Singapura pada 2026, berbanding tiga lokasi pada 2025, memastikan lebih ramai orang dapat turut serta dalam pembelajaran di kawasan perumahan mereka.
Acara Raikan Ilmu 2026 akan diadakan di Tampines, Jurong, Pasir Ris, Jalan Kayu, Kampong Gelam, Toa Payoh, Nee Soon, Geylang, Woodlands, Marsiling dan Punggol.
Buat julung-julung kalinya juga, acara itu akan berlangsung selama tiga bulan – bermula dari Jun dan berakhir pada Oktober – berbanding hanya sebulan sebelum ini.
Dr Faishal berkata acara Raikan Ilmu terus memainkan peranan penting sebagai wadah meraikan ilmu yang mudah diakses, praktikal dan dekat dengan masyarakat.
Ini lebih-lebih lagi dalam dunia yang pesat berkembang, yang dipacu oleh AI, ujarnya.
Dalam menghadapi perubahan ini, Dr Faishal menegaskan bahawa pembelajaran dan ilmu bukanlah sekadar untuk menyesuaikan diri semata-mata, tetapi untuk membina keyakinan, merebut peluang dan memperbaiki kehidupan.
“Inilah semangat Raikan Ilmu. Pembelajaran bukan sekadar menimba ilmu. Ia adalah laluan untuk memperkasa individu, membuka peluang dan membantu masyarakat terus maju,” tambahnya lagi.
Di majlis pelancaran Raikan Ilmu di OTH pada 13 Jun, satu Memorandum Persefahaman (MOU) antara Mendaki dengan Politeknik Nanyang (NYP) turut ditandatangani oleh Timbalan CEO Mendaki, Dr Noraslinda Zuber, dan Timbalan Pengetua (Kemampanan dan Teknologi) NYP, Dr Phua Chee Teck.
