Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Kes ‘vape’ mengandungi dadah ditemui di S’pura, namun ia kes minoriti

Jan 7, 2025 | 2:10 PM
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata pihak berkuasa telah menemui beberapa kes individu menggunakan e-rokok, atau ‘vape’, untuk mengambil dadah, namun ia kes minoriti.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata pihak berkuasa telah menemui beberapa kes individu menggunakan e-rokok, atau ‘vape’, untuk mengambil dadah, namun ia kes minoriti. - Foto MDDI

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan Biro Narkotik Pusat (CNB) telah menemui beberapa kes individu menggunakan e-rokok, atau ‘vape’, untuk mengambil dadah, termasuk kanabis dan dadah sintetik, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Kes seumpama itu, jelasnya, membentuk sebahagian kecil daripada kes ‘vape’ di Singapura.

Namun, beliau menekankan bahawa CNB mengambil pendekatan tiada toleransi terhadap pengambilan dadah terkawal, tidak kira cara dadah itu diambil.

“Pengedaran, pemilikan dan penggunaan dadah terkawal menggunakan ‘vape’ adalah kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA).

“Memiliki mana-mana alat atau barang, termasuk ‘vape’, untuk penggunaan dadah terkawal, adalah satu kesalahan di bawah seksyen 9 MDA,” kata beliau di Parlimen pada 7 Januari.

Dr Faishal berkata Kementerian Kesihatan (MOH) juga mengambil pendekatan pelbagai rampang untuk membendung penjualan dan penggunaan terlarang ‘vape’.

Sementara itu, HSA bekerja rapat dengan agensi seperti Pasukan Polis Singapura (SPF), CNB, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Lembaga Taman Negara (NParks) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap ‘vape’.

“Jika agensi tersebut mengesan kes berkaitan ‘vape’ semasa menjalankan tugas, kes tersebut dirujuk kepada HSA.

“HSA dan CNB bekerjasama dalam siasatan terhadap pesalah yang menggunakan ‘vape’ untuk mengambil dadah terkawal,” kata beliau.

Pada Disember 2024, akhbar The Straits Times melaporkan bahawa agensi khidmat sosial di sini melihat peningkatan trend remaja Singapura menggunakan ‘vape’ yang mengandungi dadah.

Dikenali sebagai kpod – jus ‘vape’ yang biasanya dicampur dengan etomidate, anestetik yang digunakan dalam sesetengah prosedur bukan pembedahan – agensi tersebut berkata ia merupakan satu trend semakin meningkat yang membimbangkan dalam kalangan individu berusia antara 12 dengan 19 tahun.

Sementara itu, satu laporan The Guardian di United Kingdom pada Julai 2024 pula mendedahkan bahawa satu dalam enam ‘vape’ yang dirampas di sekolah mengandungi dadah sintetik.

Dr Faishal berkata Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) dalam usaha mempertingkat kesedaran tentang bahaya ‘vape’ dan menggalak golongan belia menjalani gaya hidup bebas nikotin.

Langkah tersebut melengkapi usaha pendidikan pencegahan dadah CNB, yang bertujuan mempertingkat kesedaran tentang bahaya dadah, terutama dalam kalangan belia, tambah beliau.

Ditanya Dr Tan Wu Meng (GRC Jurong) tentang apakah langkah-langkah yang diambil demi memastikan tindakan diambil sekarang sebelum trend ‘vape’ mengandungi dadah menjadi lebih berleluasa, Dr Faishal berkata Singapura bukan hanya bekerjasama dengan agensi yang berlainan di dalam negara, malah dengan agensi di luar negara juga.

“Kami bekerjasama dengan rakan-rakan. Sifat kesalahan berkaitan dadah ataupun siasatan yang kami lakukan banyak bergantung kepada perisikan juga. Pada akhirnya, ia adalah mengenai bagaimana kita boleh bekerjasama dengan agensi dan rakan sejawat kita.

“Seperti anda maklum, ia tidak mudah dikesan, namun rakan-rakan CNB kami bekerja keras, dan mereka akan terus berusaha gigih untuk memastikan kita dapat terus melindungi negara dan mengelakkan sindiket daripada membawa masuk dadah ke dalam negara kita,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg