Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, melawat pejabat Berita Harian pada 1 Februari sebagai sebahagian daripada usaha menjalin rangkaian dengan pasukan media.
Semasa lawatan itu, Dr. Faishal berasa teruja mengenai transformasi yang dilakukan oleh BH untuk memastikan ia kekal relevan sebagai platform pembangunan masyarakat dan bahasa, menampilkan semangat dan wajah baru.
“Kami memberi taklimat kepada Dr Faishal tentang perkembangan proses transformasi BH yang bermula pada Jun lalu.
“Kami juga menjelaskan pelan kami untuk mendekati pembaca melalui pelbagai wadah dan acara pada tahun ini.
“Beliau tertarik mengenai perkembangan kami dan menggesa kami meningkatkan inisiatif bagi meluaskan jangkauan kami,” kata Editor BH/BM, Encik Nazry Mokhtar.
Sebelum ini, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam; Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad; dan mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, turut melawat bilik berita BH.
Dr Faishal juga berinteraksi dengan kakitangan BH dalam sebuah dialog, selain meninjau pejabat baru Berita Harian.
Setelah itu, beliau bersama wartawan muda BH duduk semeja dan bertukar-tukar pandangan.
“Saya telah belajar dan meraih manfaat daripada perkongsian ini serta menghargai kepentingan empati dan dedikasi dalam berkhidmat kepada masyarakat Melayu,” ujar wartawan BH, Cik Shiqin Ramadan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg