Topik diikuti
Pergi ke BHkuFaishal letak jawatan, Zaqy ambil alih sebagai Pemangku Menteri
Faishal letak jawatan, Zaqy ambil alih sebagai Pemangku Menteri
Faishal letak jawatan, Zaqy ambil alih sebagai Pemangku Menteri
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, telah meletak jawatan sebagai seorang menteri dan Anggota Parlimen (AP).
Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad akan mengambil alih sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Perletakan jawatan Dr Faishal, yang juga AP GRC Marine Parade-Braddell Heights disebabkan “alasan peribadi”, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 20 Julai.
Beliau, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), turut letak jawatan sebagai anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Dalam kenyataan tersebut, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong berkata beliau telah dimaklumkan tentang perkara tersebut kira-kira sebulan lalu.
Seorang wanita telah mengirim e-mel kepada PMO berkenaan “interaksi beliau bersama Dr Faishal”, di mana Encik Wong meminta untuk “perkara tersebut disiasat”.
Menurut Encik Wong, kededua pihak kemudiannya membuat dakwaan gangguan terhadap satu sama lain, dan kes tersebut telah dirujuk kepada Polis.
Polis telah menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut.
Selepas berunding dengan Jabatan Peguam Negara (AGC), ia diputuskan bahawa tiada kesalahan jenayah dilakukan oleh mana-mana pihak dan tiada tindakan jenayah akan diambil.
Namun, Encik Wong berkata Dr Faishal “akui bahawa kelakuannya itu tidak menepati piawaian” yang dikehendaki oleh seorang penjawat politik dan AP.
Dalam surat peletakan jawatannya kepada Encik Wong pada 20 Julai, Dr Faishal menyifatkan insiden itu sebagai ‘kesilapan pertimbangan’ beliau dalam mengendalikan interaksi dengan seorang wanita.
Beliau berkata hubungan fizikal antara beliau dengan wanita tersebut tidak pernah wujud dan juga tidak berniat untuk membiarkan interaksi itu berkembang menjadi hubungan sedemikian.
Namun begitu, selepas bermuhasabah, beliau mengakui bahawa tindakannya ‘tidak memenuhi piawaian yang diharapkan dan tidak selaras dengan tanggungjawab yang telah diamanahkan’.
“Terdapat kesilapan pertimbangan daripada saya dalam cara saya mengendalikan interaksi tersebut, serta kegagalan saya menetapkan batasan yang lebih jelas pada peringkat lebih awal.
“Oleh itu, saya telah memutuskan bahawa adalah wajar untuk saya meninggalkan dunia politik supaya saya dapat menumpukan masa dan perhatian kepada keluarga saya,” kata Dr Faishal,
Encik Wong berkata beliau telah menerima peletakan jawatan Dr Faishal.
Dalam surat bertarikh 20 Julai yang menerima peletakan jawatan Dr Faishal, Encik Wong berkata:
“Saya berasa sedih kerana anda (Dr Faishal) meninggalkan dunia politik dalam keadaan seperti ini.
“Tetapi saya menghargai pengakuan anda bahawa tingkah laku anda tidak memenuhi piawaian yang diharapkan daripada anda, serta keputusan anda untuk bertanggungjawab terhadap perkara tersebut.”

