Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, telah melepaskan semua jawatan politik berikutan satu ‘kesilapan pertimbangan’ dalam mengendalikan interaksinya dengan seorang wanita.

Sebahagian besar interaksi mereka berlaku melalui mesej dalam talian dan mereka juga bertemu di luar acara awam, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam satu kenyataan pada 20 Julai.

Encik Zaqy Mohamad, yang kini merupakan Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), mengambil alih tugas sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Dalam surat peletakan jawatannya kepada Encik Wong pada 20 Julai, Dr Faishal berkata hubungan fizikal antara beliau dengan wanita tersebut tidak pernah wujud dan beliau tidak berniat membiarkan interaksi itu berkembang menjadi hubungan sedemikian.

Namun begitu, selepas bermuhasabah, beliau yang sudah berumah tangga dengan dua anak akur tindakannya itu tidak memenuhi standard yang dijangka terhadap dirinya dan juga tidak selaras dengan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya.

“Setelah bermuhasabah, saya sedar bahawa tingkah laku saya tidak mencapai standard yang dijangkakan daripada saya dan tidak selaras dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya.

“Justeru, saya telah membuat keputusan bahawa adalah wajar bagi saya untuk berundur daripada politik, supaya saya dapat menumpukan masa dan perhatian kepada keluarga saya,” kata Dr Faishal, yang turut meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Marine Parade–Braddell Heights dan anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Dalam kenyataannya, Encik Wong berkata perkara itu mula diketahui beliau kira-kira sebulan lalu apabila pejabatnya menerima satu e-mel daripada wanita berkenaan mengenai interaksinya dengan menteri tersebut.

Menurut Encik Wong, beliau telah mengarahkan perkara itu disiasat dengan segera, dan kededua Dr Faishal serta wanita berkenaan ditemu bual secara berasingan.

Kededua pihak kemudian membuat dakwaan gangguan terhadap satu sama lain, dan perkara itu dirujuk kepada pihak polis.

Siasatan polis, yang juga berunding dengan Pejabat Peguam Negara (AGC), mendapati tiada kesalahan jenayah telah berlaku.

Namun, menurut Encik Wong, timbul persoalan sama ada tingkah laku Dr Faishal memenuhi standard yang diharapkan daripada seorang pemegang jawatan politik dan AP.

“Saya menghargai pengakuan anda bahawa tingkah laku anda tidak mencapai standard yang dijangkakan daripada anda, serta keputusan anda untuk bertanggungjawab ke atasnya.,” jelas beliau.

Encik Wong memberitahu Dr Faishal beliau menerima keputusannya untuk meletak jawatan dalam surat bertarikh 20 Julai.

Beliau berkata: “Saya berdukacita kerana anda (Dr Faishal) meninggalkan politik dalam keadaan sebegini.

“Namun saya menghargai pengakuan anda bahawa tingkah laku anda tidak mencapai standard yang dijangkakan daripada anda, serta keputusan anda untuk bertanggungjawab ke atasnya.”

Dr Faishal, 58 tahun, juga merupakan Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri) dan ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat PAP, iaitu badan kepimpinan tertinggi parti itu.

Empat lagi AP di GRC Marine Parade–Braddell Heights akan terus berkhidmat kepada penduduk di Kembangan, kawasan yang diwakili Dr Faishal, kata Encik Wong.

Dr Faishal mula menceburi politik sebagai sebahagian daripada pasukan PAP di GRC Marine Parade pada 2006 dan dipilih semula untuk tiga penggal berikutnya di GRC Nee Soon.

Beliau kembali bertanding di Marine Parade dalam Pilihan Raya Umum 2025, di mana pasukannya menang tanpa bertanding.

Sebelum menyertai politik, Dr Faishal merupakan seorang profesor dalam bidang hartanah di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Beliau menyertai barisan hadapan pemerintah pada 2012 sebagai Setiausaha Parlimen bagi Kementerian Pengangkutan.

Pada 2017, beliau dinaikkan pangkat sebagai Setiausaha Parlimen Kanan, dengan portfolio dalam bidang pendidikan serta pembangunan sosial dan keluarga.

Pada 2020, beliau dilantik sebagai Menteri Negara.

Dalam rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri Wong pada Mei 2025 selepas Pilihan Raya Umum, beliau dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negara Kanan dan Pemangku Menteri.