Faishal: M³ bakal diperluas, tingkat kerjasama lebih erat dengan badan masyarakat lain
Faishal: M³ bakal diperluas, tingkat kerjasama lebih erat dengan badan masyarakat lain
Langkah perkukuh ekosistem sokongan dalam masyarakat, beri ruang badan salur khidmat peringkat akhir dengan lebih berkesan
Rangkaian M Kuasa Tiga (M³) – usaha kerjasama antara Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki, dengan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra) – bakal diperluaskan agar ia dapat bekerjasama lebih rapat dengan badan Melayu/Islam (MMO), badan India/Islam (IMO), dan kumpulan tidak rasmi.
Langkah ini bertujuan memperkukuh ekosistem sokongan dalam masyarakat dan membolehkan badan ini menyampaikan khidmat pada peringkat akhir dengan lebih berkesan bagi membantu mereka yang memerlukan.
Ini ditegaskan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam sesi podcast BHerbual terbitan Berita Harian (BH) pada 16 Februari.
“Kita mahu memberi peluang kepada M³ yang sedia ada untuk bekerjasama dengan lebih rapat dengan MMO, IMO dan kumpulan tidak rasmi.
“Saya gembira melihat banyak MMO dan badan masyarakat yang tampil ke hadapan untuk bekerjasama sesama MMO, IMO dan juga dengan M³.
“Jadi (inisiatif baru) ini adalah peluang bagi kami mendalami proses kolaborasi untuk mendatangkan kebaikan kepada masyarakat,” kata Dr Faishal.
Dr Faishal tidak menamakan inisiatif baru itu, namun BH difahamkan pengumuman lebih lanjut tentang inisiatif tersebut bakal diumumkan dalam masa terdekat.
Semasa bercakap di sesi podcast itu, Dr Faishal berkata MMO, IMO serta kumpulan tidak rasmi telah memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara, termasuk dalam menyampaikan program peringkat nasional dengan lebih berkesan.
Ini menerusi program di peringkat masyarakat yang antara lain bertujuan memperkukuh institusi keluarga, mempromosi gaya hidup sihat, dan menyediakan laluan kehidupan dan pendidikan lebih baik untuk anak muda.
Beliau memberi contoh bagaimana PPIS dan tujuh MMO lain, buat julung-julung kalinya, berganding bahu menganjurkan acara secara kolektif seperti majlis Memperingati Hari Kebangsaan (NDO) pada Ogos 2025.
Tujuh MMO tersebut adalah Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Pertapis, New Life Stories (NLS), Muhammadiyah, AMP Singapura (AMP), dan Casa Raudha.
Beliau juga menarik perhatian usaha Taman Bacaan dengan kerjasama Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG) dalam menganjurkan sesi dialog yang dihadiri sekitar 40 pemimpin MMO.
Dialog itu, antara lain, membincangkan isu penting seperti campur tangan asing dalam politik Singapura, risiko radikalisasi dalam kalangan belia, dan lain-lain.
Dr Faishal berkata satu perkembangan positif yang beliau perhatikan adalah kesediaan MMO dan badan masyarakat tampil ke hadapan dan melakarkan program secara proaktif “tanpa perlu diseru oleh pihak berkuasa”.
Melangkah ke hadapan, Dr Faishal berkata badan ini boleh menjangkakan “tahap kolaborasi lebih mendalam” dan lebih baik.
“Banyak peluang yang kita boleh jangkakan dalam kerjasama di antara agensi pemerintah seperti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Persatuan Rakyat (PA), dan juga badan lain seperti Mendaki, MMO dan IMO,” kata Dr Faishal.
Dengan tahap kolaborasi lebih mendalam, beliau berkata masa hadapan masyarakat Melayu/Islam akan menjadi lebih cerah dan berdaya saing di arena sejagat.
Dalam pada itu, beliau juga menggesa individu yang telah berjaya dalam kerjaya dan kehidupan mereka untuk tampil menyumbang kepada masyarakat menerusi peluang yang ada dan yang bakal diwujudkan.
Selain berjaya dalam kehidupan, Dr Faishal berkata beliau juga ingin melihat masyarakat yang ‘berisi’ dengan prinsip dan perspektif kukuh seperti keikhlasan, amanah dan kesyukuran, serta jalinan rapat dengan warisan dan budaya.
“Saya mahu mereka terus berkembang maju dan mendapat pencapaian terbaik dalam kehidupan mereka. Tapi mereka tidak harus melupakan masyarakat. Mereka harus kembali berbakti kepada masyarakat.
“Jadi dengan adanya pendekatan seperti ini yang saya mahu lakukan bersama dengan rakan-rakan saya, kita boleh membangunkan masyarakat, yang bukan sahaja berjaya, tetapi ‘berisi’,” kata Dr Faishal.

