Masyarakat Melayu/Islam sentiasa dan akan terus menjadi bahagian penting dalam perjalanan Singapura, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Mengambil contoh beberapa individu Melayu yang menyerlah di Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini (2025), Dr Faishal berkata: “Kisah-kisah ini mengingatkan kita bahawa dengan kerja keras, semangat kecemerlangan, dan kebanggaan terhadap identiti kita, masyarakat Melayu/Islam mampu menyumbang secara bermakna kepada Singapura.”
Dalam video selama 1 minit 38 saat yang dimuat naik di laman media sosialnya pada 11 Ogos, beliau menyebut, antara lain, Leftenan Kolonel Muhammad Iskandar yang mengetuai formasi udara pesawat F-15SG; seniman legenda, Ramli Sarip, yang menyampaikan Lagu Kebangsaan, Majulah Singapura, dengan penuh penghayatan; serta Cik Nuryanee Anisah – seorang mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS) yang mengalami disleksia – yang telah memperkasa lebih 70 suri rumah untuk menjana pendapatan melalui usaha kitar semula sisa fabrik.
Dr Faishal berkata: “Mereka semua mengingatkan kita bahawa masyarakat Melayu/Islam sentiasa dan akan terus menjadi bahagian penting dalam perjalanan Singapura.
“Mereka membuktikan bahawa dengan kerja keras, semangat jati diri dan rasa bangga dengan identiti kita, tiada yang mustahil untuk dicapai.”
Antara individu lain yang turut disebut dalam video tersebut ialah Leftenan-Kolonel Firdaus Ghazali yang memimpin perbarisan dengan penuh ketepatan dan keyakinan, serta bakat muda seperti Abang Sapau yang menghidupkan ‘Kisah Singapura’ melalui muzik.
“Saya berasa amat bangga melihat masyarakat Melayu/Islam kita bersinar di pentas negara di Perbarisan Hari Kebangsaan tahun ini,” tambah beliau yang menyifatkan NDP tahun ini sebagai satu sambutan kisah bersama sebagai rakyat Singapura.
Seperti individu-individu yang disebut, Dr Faishal berkata setiap seorang daripada mereka penting dalam menyumbang kepada Singapura.
“Sama ada dalam pasukan berseragam, bidang seni, perniagaan, pendidikan, atau apa jua bidang, kita semua mempunyai peranan dalam membentuk masa depan Singapura,” ujar beliau.
Dengan penuh rasa bangga, Dr Faishal berkata: “Marilah kita mengambil iktibar daripada kejayaan yang telah diraih, menjadikan mereka sebagai sumber inspirasi dan berusaha melangkah ke hadapan dengan lebih yakin.
“Saya yakin bahawa masih banyak lagi yang kita mampu capai di masa hadapan. Bersama-sama, kita dapat membentuk masa depan yang lebih gemilang.”
Sebelum mengakhiri video tersebut, beliau menyeru: “Bersama-sama, mari kita terus berusaha memperbaiki masa depan masyarakat kita (Melayu/Islam) dan Singapura.
“Majulah Singapura!”
Singapura menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-60 pada 9 Ogos dan seramai 27,000 penonton telah berhimpun di Padang untuk meraikannya.
Bertemakan ‘Majulah Singapura’, perayaan kali ini mengusik jiwa dan mencetus rasa bangga bercampur sebak, mengenang pencapaian titik merah kecil ini di peta dunia sejak 60 tahun lalu, sekali gus menyatukan hati generasi demi generasi rakyat watan dalam satu seruan abadi untuk melangkah ke hadapan bersama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg