Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sambutan Hari Kebangsaan di Yishun hadiah ulang tahun ke-60 juruwang

Aug 10, 2025 | 8:43 PM
 Cik Fauziah Shaharuddin
Sambutan ulang tahun Cik Fauziah Shaharuddin yang ke-60 pada 8 Ogos, seiringan dengan ulang tahun kemerdekaan Singapura yang ke-60 (SG60) pada 9 Ogos, lebih bermakna apabila beliau dapat meninjau perarakan kenderaan tentera di kejiranan Yishun. - Foto BH oleh KHALID BABA

Ogos bukan sekadar menandakan sambutan Hari Kebangsaan Singapura, malah ia juga hari lahir Cik Fauziah Shaharuddin.

Pada 2025, sambutan hari lahirnya menjadi lebih bermakna apabila usianya genap 60 tahun, bertepatan dengan usia Singapura yang mencecah enam dekad.

Dilahirkan pada 8 Ogos 1965, Cik Fauziah, juruwang di kedai dim sum, bersyukur dirinya berpeluang melihat perubahan pesat Singapura.

Lebih manis lagi ialah apabila beliau berpeluang menyambut ulang tahunnya sambil menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan di kawasan kejiranan di padang bersebelahan FutsalArena @ Yishun, pada 10 Ogos.

Sambutan meriah Hari Kebangsaan telah dibawa ke lima kawasan kejiranan, iaitu padang bersebelahan Bishan Junction 8, One Punggol, Wisma Geylang Serai dan di Stadium ActiveSG Bukit Gombak.

“Kebiasaannya, saya sekeluarga tak perlu majlis besar-besaran. Asalkan kami dapat duduk makan malam bersama, sudah mencukupi.

“Kebersamaan juga adalah inti kebahagiaan. Maka, memandangkan sambutan Hari Kebangsaan dibawa ke kawasan kejiranan tahun ini (2025), saya gembira kerana ia menghidupkan semula semangat kampung.

“Meskipun tak berkesempatan hadiri Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) di Padang pada 9 Ogos, saya puas dapat menghadiri acara di Yishun.

“Kita dapat merasai kemeriahan bersama penduduk lain dalam suasana mesra dan penuh muhibah,” ujarnya.

Meskipun tidak semeriah perarakan dan pertunjukan bunga api di Padang atau pentas terapung Marina Bay, beliau berkata suasananya tetap menceriakan apabila penduduk berkumpul di padang atau kawasan lapang sambil menyanyikan bersama lagu patriotik Singapura.

Bagi ibu dua anak lelaki berusia 20 dan 24 tahun itu, kenangan zaman kanak-kanak yang banyak berkait dengan kehidupan masyarakat berbilang kaum yang hidup dalam keadaan rukun damai masih terpahat di ingat.

“Semangat perkampungan itu sesuatu yang saya harap akan terus wujud walaupun kehidupan kini lebih sibuk di flat.

“Melihat Singapura membangun daripada kawasan kampung ke bandar moden adalah pengalaman luar biasa. Saya sendiri melalui peralihan itu, daripada bermain di lorong dan jalanan hingga tinggal di flat bertingkat.

“Saya hanya harap Singapura kekal aman dan bersatu padu. Selagi keharmonian kaum dan rasa hormat-menghormati terpelihara, negara kita akan terus kukuh. Itulah asas yang harus kita pelihara,” kata Cik Fauziah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg