Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Mengiktiraf Palestin sebagai negara hanya menunggu masa

S’pura tidak berdiam diri, berusaha iktiraf negara Palestin apabila syarat dipenuhi
Sep 22, 2025 | 4:02 PM
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim. - Foto MDDI

Hasrat Singapura mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara tidak perlu dipersoalkan kerana ia sesuatu yang sedang diusahakan pemerintah, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Menurut Dr Faishal, beliau faham ada persoalan mengenai sama ada Singapura harus bertindak untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, sebagaimana yang telah ditimbulkan oleh Anggota Parlimen (AP).

Beliau memberi jaminan pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara adalah hasrat Singapura dan ini selaras dengan pendirian Singapura untuk memastikan keamanan yang berkekalan bagi rakyat Palestin dan Israel.

“Persoalannya bukanlah jika (Singapura akan berbuat demikian), tetapi bila,” kata Dr Faishal.

“Walaupun buat masa ini kita belum mengiktiraf Palestin, saya menegaskan dengan jelas kepada rakyat Singapura bahawa kita tidak pernah dan tidak akan hanya menjadi pemerhati yang berdiam diri terhadap tragedi yang sedang berlaku di Gaza,” kata Dr Faishal.

Berucap di Parlimen pada 22 September, Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), berkata beliau akur bahawa rakyat Singapura berasa “sedih, kecewa, bahkan marah dan jijik terhadap tindakan Israel”.

Dr Faishal berkata mengikut mana-mana kayu pengukur, tindakan Israel adalah tidak wajar dan mungkin melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Beliau menambah tindakan Israel “sudah tentu bertentangan dengan moral” dan “telah melampaui batas”.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan yang disampaikan oleh Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dan Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Cik Sim Ann, sebagai respons kepada beberapa soalan oleh AP.

Ini termasuk soalan-soalan daripada Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang), Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh) dan Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast) tentang situasi kemanuasiaan yang semakin meruncing di Gaza.

Mengulangi hujah Dr Balakrishnan di Parlimen pada 22 September, Dr Faishal berkata Singapura akan mempertingkatkan bantuan kemanusiaan untuk meringankan penderitaan rakyat Palestin.

Singapura juga akan meneruskan sokongan yang praktikal kepada usaha-usaha membina keupayaan Pihak Berkuasa Palestin (PA) sebagai persediaan bagi pembentukan negara Palestin yang berdaulat pada satu hari nanti, tambahnya.

Di Parlimen pada 22 September juga, Dr Balakrishnan berkata Singapura akan mengiktiraf Negara Palestin apabila ia mempunyai pemerintah yang berkesan dan menerima hak Israel untuk wujud serta menolak keganasan secara mutlak.

Beliau juga berkata Singapura akan mengenakan sekatan yang disasarkan ke atas pemimpin kumpulan atau pertubuhan penempatan sayap kanan radikal yang bertanggungjawab ke atas tindakan keganasan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.

Dalam ucapannya, Dr Faishal berkata Singapura telah mengesahkan “Deklarasi New York” di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di mana Singapura menyokong langkah ke arah penyelesaian dua negara.

Pada 12 September, UNGA telah menerima pakai resolusi yang mengesahkan “Deklarasi New York mengenai Penyelesaian Aman Persoalan Palestin dan Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara”.

Sebanyak 142 negara termasuk Singapura mengundi bagi menyokong resolusi tersebut, manakala 12 negara berkecuali, dan 10 negara termasuk Amerika Syarikat dan Israel menentang.

“Bersama masyarakat antarabangsa, kita mesti menyatakan penentangan tegas kita terhadap pencabulan undang-undang antarabangsa, dan kepada langkah-langkah secara sepihak yang bertujuan menghapuskan kemungkinan penyelesaian dua negara.

“Bagi penyelesaian dua negara yang berdaya maju, Israel mesti menerima negara Palestin, sama seperti rakyat Palestin juga mesti menerima hak Israel untuk wujud,” kata Dr Faishal.

Sehingga kini, Singapura telah menyumbang 10 pakej bantuan kemanusiaan bernilai lebih $24 juta.

Ini termasuk sumbangan terkini oleh Palang Merah Singapura (SRC) sebanyak kira-kira $1.2 juta menerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir semasa Lawatan Negara Presiden Tharman Shanmugaratnam ke Mesir.

Pada Ogos juga, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) telah menggugurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin – kali kedua ia berbuat demikian.

Dr Faishal berkata: “Saya percaya saya bercakap bagi pihak semua rakyat Singapura, bukan sahaja orang Melayu/Islam, bahawa kita terkesan dan sedih dengan perkembangan terkini di Timur Tengah.

“Apa yang berlaku di Gaza adalah tragedi kemanusiaan yang dahsyat. Penderitaan, pemindahan secara paksa dan pembunuhan orang awam yang tidak berdosa yang kita saksikan amat berat untuk kita tanggung, tidak kira ideologi dan kepercayaan kita.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg