Masyarakat Melayu/Islam Singapura berdiri teguh bersama penganut Yahudi dan mengecam keras serangan pengganas yang berlaku di Sydney, Australia, pada 14 Disember, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Masyarakat Melayu/Islam di Singapura kekal komited untuk hidup bersama secara aman dan makmur, di samping terus menyemai sikap saling menghormati serta memperkukuh keharmonian antara masyarakat berbilang agama dan kaum, ujar Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), dalam satu hantaran di Facebook pada 15 Disember.
Beliau menegaskan bahawa keganasan dan kebencian tidak mempunyai tempat dalam mana-mana masyarakat.
“Insiden serangan seperti ini tidak mempunyai tempat dalam masyarakat kita.
“Setiap individu harus berasa selamat untuk mengamalkan kepercayaan dan agama masing-masing tanpa rasa takut, sama ada di masjid, saumaah (synagogue), gereja atau kuil,” katanya.
Menurut Dr Faishal, Singapura dibina atas asas saling menghormati dan mempercayai antara masyarakat berbilang agama dan kaum, dan dalam saat-saat sukar seperti ini, perpaduan perlu terus diperkukuh.
“Amatlah penting untuk kita terus bersatu mempertahankan nilai-nilai keharmonian dan menolak kebencian serta fahaman ekstremisme dalam apa jua bentuk,” ujarnya.
Kenyataan itu menyusuli kejadian tembakan beramai-ramai oleh dua lelaki semasa acara cuti Yahudi di Pantai Bondi, yang disifatkan pihak berkuasa tempatan sebagai serangan pengganas.
Seramai 16 orang disahkan terbunuh, manakala sekitar 40 yang lain cedera, menjadikannya kejadian tembakan beramai-ramai terburuk di Australia dalam hampir 30 tahun.
Sehubungan itu, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam satu kenyataan pada 15 Disember turut mengecam serangan tersebut dengan menegaskan bahawa “tiada sebab sama sekali” untuk melakukan serangan pengganas terhadap orang awam dan individu yang tidak bersalah.
Apatah lagi ia berlaku ketika acara keagamaan atau di tempat ibadat, atau didorong oleh sebab-sebab keagamaan, kata Muis.
“Kami amat bimbang dunia kini semakin menjadi tempat yang berbahaya, di mana kebencian dan ketakutan dijadikan senjata untuk memecahbelahkan masyarakat dan meruntuhkan perpaduan.
“Lebih-lebih lagi apabila golongan yang terluka mencari ketenangan bukan dengan menyemai persahabatan dan semangat kejiranan, sebaliknya melalui perselisihan dan keganasan,” tambah kenyataan itu.
Muis menegaskan, apa yang berlaku di Australia itu adalah peringatan bahawa rakyat Singapura harus kekal bersatu sebagai masyarakat yang erat, berlandaskan “ikatan yang dibina atas dasar keprihatinan, rasa hormat dan empati”.
Antara yang terbunuh termasuk seorang lelaki yang dipercayai salah seorang penembak, kata polis.
Sebilangan alat letupan buatan sendiri turut ditemui di dalam sebuah kereta “yang dikaitkan dengan penyerang yang terbunuh” di Pantai Bondi, kata Pesuruhjaya Polis New South Wales, Encik Mal Lanyon.
Beberapa saksi berkata kejadian tembakan di pantai itu – yang menjadi tumpuan ramai setiap musim panas – berlangsung selama sekitar 10 minit, menyebabkan pengunjung lari bertempiaran di pantai dan ke jalan raya serta taman berdekatan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg