Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata Singapura mengecam keras kejadian tembakan di Pantai Bondi, Sydney, pada 14 Disember, yang telah membunuh sekurang-kurangnya 16 orang dan menyebabkan 40 yang lain dimasukkan ke hospital.
Dalam utusan takziah kepada Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, pada 14 Disember, Encik Wong menulis:
“Singapura mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan ini. Tindakan sedemikian tidak mempunyai tempat dalam masyarakat kita dan menjejas keamanan dan keselamatan yang kita semua hargai.”
Dua suspek lelaki bersenjata melepaskan tembakan berhampiran pantai yang terkenal itu ketika kira-kira 1,000 orang meraikan malam pertama perayaan Hanukkah Yahudi pada petang 14 Disember.
Menurut akhbar The Straits Times (ST), polis berkata 40 mangsa kejadian masih berada di hospital termasuk dua pegawai polis yang berada dalam keadaan serius tetapi stabil.
Salah seorang daripada penembak telah meninggal dunia, manakala seorang lagi dalam keadaan kritikal.
Polis Australia menyifatkan serangan itu sebagai kejadian pengganasan.
“Pengganasan yang tidak masuk akal ini melanda tempat yang disukai oleh rakyat Australia dan pengunjung, termasuk ramai rakyat Singapura,” kata Encik Wong.
“Bagi pihak pemerintah Singapura, saya mengucapkan takziah yang mendalam kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang, dan simpati yang tulus ikhlas kepada mereka yang cedera,” tambahnya.
Encik Wong berkata Singapura berdiri teguh bersama Australia dalam perpaduan dan sokongan dalam “masa yang menyedihkan dan sukar” ini.
Beliau juga menulis dalam catatan Facebook sekitar 11.15 malam (14 Disember) tentang kesedihannya apabila mengetahui kejadian tragis itu.
“Ingatan saya bersama semua orang yang terjejas,” katanya.
Dalam satu kenyataan pada 15 Disember, Pertubuhan Antara Agama (IRO) Singapura mengecam penembakan itu sebagai “kejahatan tulen” dan “keganasan yang lahir daripada antisemitisme”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg