Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal, pelajar Melayu SIT bincang isu pekerjaan, kos sara hidup dalam sesi dialog

Pelajar juga luahkan keprihatinan tentang kesejahteraan minda; Wan Rizal turut hadir
Oct 23, 2025 | 4:12 PM
dialog, Melayu, pelajar, SIT
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (baris kedua, lima dari kiri), dan Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah (baris kedua, empat dari kanan), bertemu dengan pelajar Melayu daripada Institut Teknologi Singapura (SIT) sebagai usaha berterusan mendekati golongan belia. - Foto FACEBOOK PROFESOR MADYA MUHAMMAD FAISHAL IBRAHIM

Pelajar Melayu daripada Institut Teknologi Singapura (SIT) berkongsi secara terbuka tentang harapan dan cabaran yang mereka hadapi — daripada matlamat kerjaya dan kesejahteraan minda hinggalah kepada persoalan mengenai jati diri, kepercayaan, ekonomi dan isu global.

Ini didedahkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Dr Faishal dan Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, bertemu dengan pelajar tersebut sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mendekati golongan belia.

Dalam satu hantaran Facebook pada 22 Oktober, Dr Faishal berkata, “Saya juga memahami kebimbangan sebenar yang dihadapi belia pada zaman kini: peningkatan kos sara hidup, persaingan untuk pekerjaan dan usaha mencari makna dan tempat masing-masing dalam masyarakat.

Mereka juga berbincang tentang topik perumahan dan geopolitik.

“Saya amat bersyukur atas kejujuran dan sifat timbang rasa mereka semasa perbincangan,” tambah Dr Faishal.

Beliau juga menekankan kepentingan mewujudkan peluang untuk anak muda Singapura berkembang maju, sambil memperkasakan mereka untuk membentuk masa depan yang berteraskan nilai dan kekuatan yang dikongsi bersama.

Dalam satu lagi hantaran Facebook pada 23 Oktober, Dr Wan Rizal pula berkata: “Satu perkara yang menyentuh hati saya ialah stigma terhadap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Islam.”

Beliau berkongsi tentang rangka LASTS - Literasi, Advokasi, Saringan, Masa Rehat dan Kerohanian - sebagai pendekatan holistik untuk menyokong kesejahteraan dan kesihatan minda.

Dr Faishal mengatakan beliau “terharu melihat semangat, daya usaha dan keinginan untuk membawa perubahan”.

“Saya menantikan peluang untuk bertemu dengan lebih ramai belia dalam sesi akan datang untuk mendengar, mempelajari dan menyokong mereka untuk berkembang dan memimpin,” kata Dr Faishal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg