Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mabims sepakat perkukuh belia, pendidikan, kehidupan agama melalui pelan 5 tahun

Faishal: S’pura, M’sia, Indo dan Brunei tetap bersatu dalam komitmen berkenaan prinsip Islam, aspirasi bersama meski berbeza ekspresi budaya, kaedah pelaksanaan
Oct 21, 2025 | 7:55 PM
Faishal, Mabim, Mabims sepakat perkukuh belia, pendidikan, kehidupan agama melalui pelan 5 tahun
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tengah) bersama delegasi Singapura di Mesyuarat Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims) ke-21. Ini merupakan penyertaan pertamanya sejak menjadi Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam. - Foto JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

Singapura, Brunei Darussalam, Indonesia, dan Malaysia komited dalam memperkukuh agenda bersama dalam aspek memperkasa golongan belia, memperkukuh pendidikan dan kehidupan beragama demi kebaikan bersama, memupuk keharmonian sosioekonomi, serta mengukuhkan perpaduan serantau.

Hal tersebut merupakan Pelan Strategik Lima Tahun – antara 2026 dengan 2030 – terbaru yang telah diluluskan di Mesyuarat Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims) ke-21 pada 19 Oktober.

Menurut kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 21 Oktober, setiap bidang keutamaan diterajui oleh negara penyelaras yang ditetapkan, dengan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas bagi memantau pelaksanaan dan mengukur keberkesanan.

Pelan tersebut, antara lain, merupakan perkara yang diketengahkan di Mesyuarat Mabims ke-21 di Melaka yang berlangsung dari 16 hingga 19 Oktober.

Ia juga merupakan penyertaan pertama Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim di Mabims, sejak memegang jawatan tersebut, dan turut disertai Muis.

Menurut Muis lagi, Dr Faishal telah menekankan mengenai keperluan memperkukuh kerjasama Islam serantau dalam menghadapi cabaran sejagat seperti perubahan teknologi, tekanan iklim dan ketidaktentuan geopolitik.

“Beliau menegaskan usaha membina masyarakat Islam yang berdaya tahan memerlukan pendekatan menyeluruh – berteraskan institusi yang kukuh, namun fleksibel, pendidikan agama yang bermutu serta rangkaian sokongan yang berkesan,” jelas Muis.

Muis menambah para pemimpin turut membincangkan perancangan strategik dan pendekatan inovatif bagi kerjasama masa hadapan.

Muis turut menukil Dr Faishal yang berkata bahawa meskipun negara anggota Mabims berbeza dari segi ekspresi budaya dan kaedah pelaksanaan, mereka tetap bersatu dalam komitmen terhadap prinsip-prinsip Islam dan aspirasi bersama.

Merumuskan pengalamannya di mesyuarat tersebut menerusi satu hantaran Facebook pada 21 Oktober, Dr Faishal berkata selain memperkukuh kerjasama serantau, perbincangan beliau dengan rakan-rakan menteri Mabims turut mengukuhkan hubungan dua hala yang erat.

Menurutnya, ia berteraskan “kepercayaan, persahabatan, dan nilai-nilai bersama”.

“Wadah seperti ini mengingatkan kita tentang aspirasi bersama untuk memperkasa institusi keagamaan, memajukan masyarakat kita, dan memastikan Islam terus menjadi daya positif bagi kemajuan serta perpaduan semua pihak,” tulisnya.

Beliau turut menghargai ikatan yang sudah terjalin bersama Mabims, dan berkata:

“Saya harap ikatan ini akan terus mekar dan memberikan kita kekuatan untuk saling menyokong satu sama lain dalam kita mengharungi cabaran global yang semakin kompleks.”

Bersama beliau di pentas tersebut termasuk Menteri di Jabatan Pejabat Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Dr Mohd Naim Mokhtar; Setiausaha Umum Kementerian Agama Indonesia, Profesor Dr Kamaruddin Amin; dan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei, Encik Mohammad Rosli Ibrahim. Moderatornya adalah Encik Mohd Hariri Mohamad Daud.

Di forum tersebut, Dr Faishal berkongsi bagaimana Nusantara berpotensi menjadi hab pendidikan Islam kontemporari yang terkenal, yang mampu menyepadukan tradisi dan pembaharuan kerana kepelbagaian budayanya, sekali gus melahirkan asatizah yang boleh dibanggakan.

“Melalui perkongsian serantau ini dan hab pembelajaran Islam kontemporari, kita dapat melahirkan asatizah yang cerdas dan mahir, yang memiliki nilai yang kukuh, akhlak teladan, serta tingkah laku mulia yang boleh kita banggakan,” kata Dr Faishal.

Forum itu disiarkan secara langsung di saluran televisyen nasional Malaysia, RTM1.

Dr Faishal turut menghadiri majlis pembukaan Festival Halal Antarabangsa Mabims-Melaka 2025 – yang diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Mabims – sebagai tetamu khas.

Festival Halal Antarabangsa Mabims-Melaka 2025 berlangsung dari 16 hingga 19 Oktober 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka.

Selain itu, Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) ke-49 yang diadakan pada 15 Oktober pula menghimpunkan pegawai agama kanan daripada keempat-empat negara anggota untuk membincangkan hal ehwal dan kerjasama Islam serantau.

Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir, menyeru para pemimpin agama serantau dan delegasi untuk memperkukuh nilai keseimbangan dan kesederhanaan yang menjadi ciri Islam di Asia Tenggara, sebagai model bagaimana masyarakat Islam dapat berjaya menghadapi dunia moden, berkembang dalam masyarakat berbilang budaya, serta memacu kemajuan dan pembangunan yang lestari, tambah Muis dalam kenyataan itu.

Ditubuhkan pada 1989, Mabims berperanan sebagai satu wadah dwitahunan serantau.

Ia menghimpunkan pihak berkuasa beragama Islam dari Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura, dalam usaha memperkukuh kesejahteraan sosioagama masyarakat Islam di rantau Asia Tenggara, menerusi kerjasama strategik dan inisiatif bersama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg