Topic followed successfully
Go to BHkuFaishal: Penting sediakan ruang dialog sivil bagi kekalkan keharmonian sosial
Faishal: Penting sediakan ruang dialog sivil bagi kekalkan keharmonian sosial
Faishal: Penting sediakan ruang dialog sivil bagi kekalkan keharmonian sosial
Bagi memupuk pemahaman lebih baik mengenai konflik antarabangsa, adalah penting untuk menyediakan ruang bagi dialog sivil mengenai isu ini, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Di samping itu, penting juga untuk membenarkan rakyat Singapura menyumbang melalui cara yang membina.
Mekanisme sokongan masyarakat sedemikian dapat memperkukuh pemahaman antara masyarakat dengan mempromosikan keharmonian sosial, tambah beliau.
Dr Faishal berkata demikian bagi menjawab soalan Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast), di Parlimen pada 7 April, mengenai bagaimana konflik sejagat di luar negara diperjelas di peringkat domestik bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan sosial di Singapura.
“Kumpulan Keharmonian Kaum dan Agama kami menganjurkan inisiatif antara etnik dan antara agama untuk membina kepercayaan merentas masyarakat.
“Ini termasuk Dialog Keamanan dan Keharmonian pada Oktober 2024 yang membincangkan situasi di Gaza dan yang terbaru, satu seminar belia pada Januari 2026 yang bertujuan memperkasakan golongan muda agar bertindak menentang ekstremisme dalam era digital,” katanya.
Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), yang ditubuhkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pula menyediakan saluran bagi semua rakyat Singapura untuk menghulurkan bantuan.
Menurutnya, pada 2024, Harmony Circle menganjurkan kempen pengumpulan dana Harmony-in-Action bagi menyokong usaha Gaza RLAF, yang berjaya mengumpulkan setengah juta dolar.
Masyarakat Islam Singapura yang memerlukan bimbingan atau seseorang untuk membincangkan isu itu, juga boleh berjumpa dengan asatizah terlatih untuk memberi kaunseling dan panduan sewajarnya.
“Satu contoh adalah Asatizah Solace Care, satu perkhidmatan yang dimulakan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), yang menyediakan wadah percuma, selamat dan rahsia bagi individu serta keluarga yang mencari sokongan emosi dan rohani untuk membincangkan sebarang kebimbangan,” ujar beliau.
Menurutnya, program Latihan Pendidikan Profesional Berterusan (CPE) di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah turut menyediakan asatizah dengan kemahiran untuk mendampingi masyarakat, termasuk memberikan sokongan emosi dan rohani dalam menghadapi isu konflik semasa.
Dr Faishal menjelaskan bahawa Singapura merupakan sebuah masyarakat berbilang kaum, dan pemerintah memahami sesetengah rakyat Singapura mempunyai hubung kait yang kuat dengan peristiwa di luar negara, termasuk konflik antarabangsa.
Lantas, pemerintah berusaha menyediakan maklumat mengenai pemahaman isu itu tepat pada masanya, termasuk melalui kenyataan di Parlimen.
“Pendekatan kami adalah untuk memupuk pemahaman yang lebih baik mengenai perkembangan ini, serta menjelaskan implikasinya terhadap Singapura dan rakyat Singapura,” ujar beliau.

