Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Perancangan bandar S’pura pastikan masyarakat dapat ibadah, khidmat dengan aman

Nov 21, 2025 | 4:56 PM
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri), bersama beberapa peserta yang hadir bagi Persidangan Mualaf Rentas Budaya Asia Pasifik (APCCCC) yang diadakan buat julung kalinya pada 21 November, di Hotel Parkroyal Beach Road.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri), bersama beberapa peserta yang hadir bagi Persidangan Mualaf Rentas Budaya Asia Pasifik (APCCCC) yang diadakan buat julung kalinya pada 21 November, di Hotel Parkroyal Beach Road. - Foto BH oleh KHALID BABA

Perancangan bandar Singapura memastikan setiap masyarakat dapat beribadah, berkhidmat dan berkembang dengan aman, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Di kawasan kejiranan, masjid berdiri bersebelahan kuil dan gereja, dengan setiap rumah ibadah memenuhi keperluan masyarakat masing-masing namun berkongsi ruang bersama dalam semangat saling menghormati.

Dr Faishal berkata demikian semasa berucap di Persidangan Mualaf Rentas Budaya Asia Pasifik (APCCCC), yang diadakan buat julung kalinya pada 21 November, di Hotel Parkroyal Beach Road.

“Keharmonian ini bukan terjadi dengan sendirinya. Ia terbina melalui usaha yang disengajakan dan berterusan oleh para pemimpin, pertubuhan agama dan rakyat kita, yang memastikan setiap masyarakat di Singapura dapat beribadah, berkhidmat dan berkembang dengan aman.

“Pendekatan ini jelas terlihat dalam perancangan bandar kita.

“Di banyak kejiranan, masjid berdiri bersebelahan kuil atau gereja, masing-masing memenuhi keperluan masyarakat mereka dengan penuh dedikasi, namun tetap berkongsi ruang bersama dalam semangat saling menghormati,” kata Dr Faishal.

Persidangan tersebut menghimpunkan para sarjana dan pemimpin masyarakat dari seluruh rantau untuk membincangkan pendekatan inovatif dalam menyokong para mualaf dan memupuk keharmonian dalam masyarakat majmuk.

Beliau menambah pendekatan Singapura terhadap isu kaum dan agama bukanlah dengan mengetepikan kaum, bahasa atau agama lain atau memaksa satu identiti sekular, tetapi dengan mencari titik persamaan dan mengukuhkan kekuatan dalam kepelbagaian.

Menurut Dr Faishal, terdapat lebih 70 masjid di serata Singapura, yang bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah yang suci, tetapi juga sebagai pusat pembelajaran dan penglibatan masyarakat.

Banyak di antaranya membuka pintu kepada jiran daripada agama lain, menganjurkan lawatan antara agama, perjalanan pembelajaran, projek khidmat masyarakat dan dialog yang mengeratkan hubungan.

Memberi contoh, Dr Faishal merujuk kepada pertubuhan seperti Pertubuhan Antara Agama (IRO) dan Harmony Circles, yang telah menjalankan pelbagai inisiatif masyarakat sebagai sebahagian komitmen untuk meraikan kepelbagaian serta memelihara hubungan antara kaum dan agama.

“Mereka menyediakan platform untuk dialog dan kerjasama agar masyarakat berasaskan agama dapat bekerjasama serta berkongsi pengalaman, bukan sekadar untuk mencegah salah faham, tetapi juga memupuk nilai bersama seperti belas ihsan, keamanan dan khidmat kepada orang lain,” ujar Dr Faishal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg